Padah jual bearing motosikal tiruan

Iklan
KPDN merampas bearing motosikal tiruan dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

KUALA LUMPUR - Premis menjual aksesori dan alat ganti motosikal di Bandar Manjalara di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan rampasan 1,200 unit bearing tiruan pada Rabu lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, operasi dengan kerjasama wakil cap dagang dijalankan bermula jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Tindakan berasaskan aduan pihak wakil cap dagang itu mendapati alat ganti motosikal iaitu bearing yang menggunakan jenama terkenal merupakan tiruan.

"KPDN kemudian telah merampas 1,200 unit bearing bernilai RM10,000," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Tambah Mohd Shahran, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an mendakwa merupakan pemilik premis telah diambil keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 102 (1)(C) Akta Cap Dagangan 2019.

Sementara itu, Pengarah Perlindungan Jenama SKF Group, Saim Manto berkata, penjualan itu mengelirukan serta mengancam pengguna yang tidak menyedari penipuan tersebut.

Iklan

"SKF mengesahkan bahawa pihaknya sedang membantu siasatan dan memberi amaran bahawa penggunaan bearing palsu boleh mengakibatkan kegagalan peralatan yang serius dalam pelbagai sektor termasuk automotif.

"Pengeluaran dan perdagangan produk tiruan merupakan masalah global yang memberi kesan kepada semua jenama dan segmen pasaran," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, perdagangan produk tiruan di pasaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan pengguna yang menyangka membeli produk asli.

Tambahnya, penggunaan produk tiruan meletakkan pengguna, pekerja serta orang awam dalam risiko keselamatan yang serius atau menyebabkan jangka hayat produk menjadi lebih pendek, prestasi operasi yang lemah atau kerosakan kepada peralatan.

"Kami komited untuk membanteras perdagangan haram produk tiruan bukan sekadar untuk melindungi integriti jenama, tetapi juga demi keselamatan pelanggan dan masyarakat umum.

"SKF terus bekerjasama rapat dengan penguat kuasa tempatan untuk membanteras penularan produk tiruan di pasaran," ujarnya.