'Anjing sering kejar penduduk sebelum serang adik'

Iklan
Anjing yang menyerang serta mencederakan seorang kanak-kanak lelaki dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Batu 9 Cheras, Rabu lalu pernah beberapa kali mengejar penduduk taman berkenaan sebelum ini.

KAJANG – Anjing yang menyerang serta mencederakan seorang kanak-kanak lelaki dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Batu 9 Cheras, Rabu lalu pernah beberapa kali mengejar penduduk taman berkenaan sebelum ini.

Abang sulung mangsa, Surya Arifin, 20, berkata, lokasi kejadian terbabit sebelum ini belum pernah didatangi haiwan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Lorong taman yang kami diami ini kebanyakannya masyarakat Melayu, jadi memang tiada siapa yang bela anjing di sini.

"Cuma sejak beberapa minggu lalu, anjing terbabit bersama dua ekor lagi anjing lain mula datang dan selalu bersembunyi di bawah kereta penduduk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Katanya, kemunculan tiga ekor anjing itu menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan jiran kerana haiwan itu kerap mengejar sesiapa yang melalui kawasan berkenaan.

"Memang anjing tu selalu kejar orang sehinggakan ada jiran yang risau nak keluar rumah.

Iklan

"Sebelum ini pernah juga ada penduduk yang dikejar, namun anjing berkenaan tak menggigit, malangnya adik saya pula yang jadi mangsa pertama," katanya.

Mangsa kini dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya.

Menceritakan mengenai kejadian, Surya berkata, ketika itu anjing berkenaan berada bawah sebuah kereta tiba-tiba menerkam kepala adiknya.

"Adik saya tak nampak anjing tu sebab kereta rendah, tiba-tiba ia keluar dan terus serang, kawan-kawannya jerit namanya ketika itu, mujur ada yang membantu masa itu.

"Saya kemudian bergegas keluar dari rumah selepas mendengar jeritan dan mendapati dia berlari ke arah rumah kami dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Jelasnya, dia kemudian terus hubungi ambulans sejurus selepas kejadian.

"Tapi sementara tunggu ambulans, saya bawa dia ke klinik berhampiran, doktor cuci luka dulu sebelum ambulans tiba dan bawa ke Hospital Kajang.

"Alhamdulillah, adik saya kini dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya," katanya.

Ujarnya, dirinya menafikan dakwaan mengatakan adiknya ada mengganggu haiwan itu.

"Masa kejadian, anjing itu bersembunyi bawah kereta, adik saya pula bermain basikal bersama rakan-rakannya dan mereka memang tak sedar anjing itu ada di situ.

"Adik saya baru lima tahun, mana berani kacau anjing, kawan-kawan dia pun kata memang tak kacau, serangan tu berlaku tiba-tiba saja, mungkin sebab bunyi basikal,” katanya

Terdahulu, polis mengesahkan anjing yang menyerang dan menggigit kanak-kanak lelaki dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Batu 9, Cheras merupakan anjing liar.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, semakan dilakukan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mendapati anjing terbabit adalah anjing liar dan tiada pemilik.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki cedera selepas diserang dan digigit seekor anjing ketika bermain basikal di jalan berhampiran rumahnya.

Kejadian terbabit sebelum itu tular di media sosial memaparkan kanak-kanak terbabit bergelut dengan anjing itu beberapa ketika sebelum berjaya melarikan diri.

Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa berlumuran darah dengan kesan kulit terkoyak di bahagian kepala.