Warga asing tinggal lebih masa bawah 90 hari dikompaun serta-merta

Iklan
Saifuddin menyerahkan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani.

BALING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan tindakan kompaun terhadap warga asing membabitkan kes tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebelum ini semua kes membabitkan tinggal lebih masa perlu melalui proses pendakwaan.

Iklan
Iklan

“Kini, jika tempoh lebih masa tidak melebihi 90 hari dengan alasan munasabah seperti sakit, kemalangan atau bencana, kita kenakan kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai, pada Jumaat.

Iklan

Saifuddin menjelaskan, bagi kesalahan tinggal lebih masa antara satu hingga 30 hari, kompaun dikenakan RM30 sehari sehingga maksimum RM900.

“Jika melebihi 31 hingga 60 hari, kompaun dikenakan secara automatik sebanyak RM1,000 manakala kesalahan 61 hingga 90 hari pula dikenakan kompaun RM2,000.

Iklan

“Tetapi kalau terlebih tinggal di negara ini melebihi 90 hari atau misalnya sembilan tahun, kes itu akan dibuka kertas siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kaedah kompaun membolehkan tempoh pemprosesan hanya mengambil masa satu hari berbanding 14 hari sebelum ini selain mengurangkan kesesakan di depoh tahanan.

Dalam pada itu, Saifuddin mendedahkan seramai 35,225 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara antara 1 Januari hingga 30 Ogos lalu kerana melanggar peraturan imigresen.

Tangkapan itu diperoleh hasil daripada 9,500 operasi yang dijalankan dengan pemeriksaan membabitkan 152,000 warga asing.