Warga Sri Lanka pandu bas kilang tanpa lesen sejak enam bulan lalu

Iklan
Individu terbabit dipercayai telah bekerja sebagai pemandu bas kilang secara haram sejak enam bulan lalu.

SHAH ALAM - Tindakan seorang lelaki warga Sri Lanka yang memandu bas kilang tanpa lesen sah sejak enam bulan lalu terbongkar selepas ditahan dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor pada Khamis.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika memandu bas kilang berkenaan yang turut didapati telah tamat tempoh cukai jalan.

Iklan
Iklan

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (PSV).

"Bas kilang itu juga didapati beroperasi tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada insurans sah serta gagal memperbaharui pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer).

Iklan

Bas kilang itu juga didapati beroperasi tanpa Lesen Kenderaan Motor, tiada insurans sah serta gagal memperbaharui pemeriksaan Puspakom.

"Individu terbabit dipercayai telah bekerja sebagai pemandu bas kilang secara haram sejak enam bulan lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, bas berkenaan bersama pemandunya dibawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, tindakan majikan yang membenarkan warga asing tanpa lesen sah memandu bas kilang membawa pekerja merupakan perbuatan berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan.

"Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut mengancam keselamatan nyawa penumpang yang menaiki kenderaan itu.

"JPJ Selangor akan terus mempergiatkan pemantauan serta operasi berterusan bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang jalan raya," katanya.

Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai salah laku trafik boleh menyalurkannya melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-aduan dengan menyertakan butiran lengkap untuk tindakan segera.