SERAMAI 19 atlet negara bersedia untuk menghangatkan pentas terbesar triatlon dalam tempoh tiga bulan mendatang dengan Kejohanan Dunia Ironman di Nice, Perancis buat peserta lelaki dan Kona, Hawai (wanita) serta Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Marbella, Sepanyol.
Kategori lelaki bakal disertai lapan wakil Malaysia termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Sri Vincent Tiew, Tengku Ahmad Masrin Tengku Mahmud, Ang Chee Kiang, Gavin Loh, Teoh Teng Ee, Christopher Lim dan Muhamad Azmir Taib.
Chee Kiang yang berusia 58 tahun akan menyertai kategori umur lelaki 55–59 tahun teruja untuk membuat penampilan sulungnya pada kejohanan Ironman lelaki di Nice pada 14 September ini.
"Ia akan menjadi Kejohanan Dunia Ironman pertama saya selepas bertahun-tahun dalam sukan ini.
"Saya telah berlumba dalam saingan Ironman penuh di Langkawi lima kali sejak 2018, tetapi ini kali pertama saya bertanding di Eropah dan saya sangat teruja," katanya.
Kejohanan Dunia Ironman wanita pula dijadual berlangsung di Kona, Hawai pada 11 Oktober depan.
Malaysia akan diwakili lima peserta iaitu Harum Delima Mohd Noor, Yen Chia, Jamie Chook, Nur Syahariah Jusoh dan Mimi Ruslan
Mereka akan berenang sejauh 3.8 kilometer (km) di Kailua Bay, kayuhan basikal sejauh 180km di sepanjang Lebuhraya Queen Ka’ahumanu dan larian maraton sejauh 42.2km melalui Energy Lab dengan cabaran cuaca panas terik serta berangin.
Chia, 35, yang bertanding dalam kategori umur 35 hingga 39 tahun menyifatkan kejayaan layak ke Kona sebagai mimpi menjadi kenyataan.
"Saya tidak pernah menyangka akan berlumba di Kona. Saya amat meminati sukan ini dan akan terus bekerja keras. Saya berasa sangat gembira dan masih berasa terkejut," katanya.
Kalendar kejohanan dunia berakhir dengan Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Marbella, Sepanyol pada 9 November.
Ia akan melibatkan penyertaan enam wakil negara iaitu Fatin Farhana Tuan Kamarudden, Nadia Adrianna Redza, Chang Wei Ying, Wan Jo Ning, Amira Alysa Ayob dan Rodrigo Aja akan bertanding dalam format jarak separuh (1.9km berenang, 90km berbasikal dan 21.1km berlari).
Dalam pada itu, Pengarah Serantau Ironman Asia, CG Lim berkata, peningkatan berterusan peserta membuktikan pertumbuhan sukan itu di Malaysia.
"Menerusi kejohanan di Langkawi dan Desaru Coast, lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah berani menyertai triatlon jarak jauh — dan setiap tahun kami melihat lebih ramai daripada mereka layak ke kejohanan dunia," katanya.
Sebagai rekod, hubungan Malaysia dengan Ironman bermula lebih dua dekad lalu apabila kali pertama menganjurkannya pada awal tahun 2000-an sebelum mengukuhkan kedudukannya menerusi Ironman Malaysia di Langkawi dan Ironman 70.3 Desaru Coast.