KUALA LUMPUR - Seorang remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak 7 Jun lalu, ditemui di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan penemuan Balisong oleh sepasukan pegawai dari Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Setakat ini saya mengesahkan penemuannya dan butiran lanjut akan dimaklumkan kemudian sehingga pemeriksaan lanjut termasuk keadaan dirinya selesai dijalankan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan Balisong dipercayai datang ke negara ini untuk bercuti.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata perkara itu diketahui susulan visa kemasukannya menunjukkan dokumen itu akan tamat tempoh pada Khamis selepas dia masuk ke negara ini pada 7 Jun lalu.
Shazeli berkata, polis berusaha mengesan keberadaan remaja terbabit, antara lain dibantu oleh maklumat yang diberikan ibu mangsa serta pelbagai pihak lain.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur,dan sejak itu mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.
Balisong bagaimanapun dilaporkan sempat menghantar e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lepas.
Antara kandungan e-mel itu ialah pesanan Balisong supaya tidak mencarinya dan bimbang akan dirinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya itu.