ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sedang menimbang untuk memberikan bantuan kepada pelajar anak Johor yang melanjutkan pengajian di Maghribi meskipun jumlahnya kecil.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ketika ini hanya empat pelajar Johor berada di Maghribi bagi mengikuti pengajian dalam jurusan Syariah.
Bagaimanapun, ujarnya, mereka tetap diberikan perhatian dan dibenarkan membuat permohonan bantuan tambang kapal terbang sehingga maksimum RM3,000.
“Walaupun tumpuan utama kita di Mesir dan Jordan kerana jumlah pelajar yang ramai, pelajar Johor di Maghribi juga berhak untuk dipertimbangkan.
“Saya minta kumpulan pelajar tersebut menulis kepada MAINJ untuk menyatakan bentuk bantuan yang sesuai bagi mereka di sana nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat dan sumbangan kepada 101 pelajar yang berjaya menyambung pengajian ke luar negara dalam satu majlis di Eco Galleria, pada Khamis.
Hadir sama, Penasihat MAINJ, Datuk Dr Nooh Gadot.
Menurut Mohd Fared, MAINJ memberi keutamaan kepada pelajar di Mesir dan Jordan memandangkan jumlah pelajar yang tinggi sehingga mendorong pembelian bangunan di Mesir bagi menempatkan mereka.
“Bagaimanapun, kita tidak mengetepikan pelajar di negara lain. Selepas ini, MAINJ akan terus membuat kajian lokasi pengajian mereka bagi menentukan bentuk bantuan yang bersesuaian.
“Selagi terbukti tempat pengajian itu berlandaskan akidah yang baik dan sesuai dengan pegangan kita di Johor serta Malaysia, insya-ALLAH kita akan melawat serta menilai bantuan yang boleh disalurkan,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun lalu, pihaknya telah menziarahi pelajar Johor di Turki walaupun hanya terdapat enam orang pelajar di negara tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Fared turut menasihatkan pelajar dan ibu bapa supaya mendapatkan nasihat daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sebelum memilih universiti di luar negara, kerana terdapat beberapa institusi pengajian agama yang tidak diiktiraf.