KUCHING – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu menghormati undang-undang Sarawak dan mengiktiraf Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengagregat gas tunggal di negeri ini, tegas Penasihat Undang-undang Sarawak, Datuk Seri JC Fong.
Beliau berkata, kedudukan itu sudah termaktub di bawah Ordinan Agihan Gas (DGO) Sarawak yang dipinda pada tahun 2023 dan Petronas tidak boleh mengetepikan kuasa undang-undang negeri.
“Dari tahun 1975 hingga 2024, Sarawak hanya menerima kira-kira RM49 bilion dalam bentuk bayaran tunai daripada Petronas. Baki 95 peratus pula pergi kepada Petronas daripada sumber minyak dan gas yang ditemui di Sarawak,” katanya.
Fong berkata demikian sebagai respons kepada artikel di sebuah portal yang didakwa cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.
Menurut beliau lagi, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menyatakan Sarawak telah menikmati manfaat kewangan berjumlah RM96 bilion sehingga 2024; termasuk royalti, dividen dan cukai jualan dan angka itu masih jauh daripada mencerminkan nilai sebenar hasil minyak dan gas negeri itu.
Bagaimanapun, jelas Fong, Sarawak tetap berhemah dalam menggunakan bahagian hasil kecil itu untuk pembangunan infrastruktur transformasi seperti Jalan Trunk Kedua, Lebuhraya Pesisir, jambatan ikonik, sekolah menengah antarabangsa serta inisiatif pendidikan percuma yang bakal dilaksanakan.
“Semua inisiatif ini memberi manfaat kepada seluruh komuniti di Sarawak, bukan hanya satu kumpulan etnik atau elit politik,” ujarnya.
Fong turut menekankan bahawa langkah kerajaan negeri mengambil semula kawalan agihan gas melalui Petros sudah mula menyalurkan manfaat terus kepada rakyat.
Antara contoh katanya, ialah program bekalan gas percuma untuk keluarga B40 di Sungai Plan, Bintulu dan Quadruplex Ceria, Miri, sesuatu yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini di Sarawak.
Beliau pada masa sama memberi amaran bahawa naratif palsu yang cuba meruntuhkan kewibawaan kepimpinan negeri boleh melemahkan sokongan rakyat, sedangkan sokongan itulah yang menjadi asas operasi Petronas di Sarawak sejak sekian lama.
“Semua yang rakyat Sarawak mahukan ialah penghormatan sewajarnya daripada Petronas terhadap undang-undang Sarawak, penggunaan sumber gas secara mampan serta peruntukan gas yang mencukupi untuk menyokong Peta Jalan Gas negeri.
“Jika peta jalan ini berjaya dilaksanakan, ia mampu menyumbang sehingga RM130 bilion setahun kepada KDNK negara,” katanya.