Tuduhan kawal pelaburan RM150 juta sangkaan jahat - Bung Moktar

Iklan
Bung Moktar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, cadangan bahawa beliau telah memainkan peranan yang aktif dalam memastikan pelaburan RM150 juta berjaya, merupakan sangkaan jahat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata demikian ketika prosiding bela diri atas tiga kes rasuah dihadapinya, sementara kes bersubahat membabitkan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad berhubung pelaburan Felcra di unit amanah dalam Public Mutual Berhad berjumlah RM150 juta.

Iklan
Iklan

Bung Moktar, 66, juga tidak bersetuju ketika Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry ketika mencadangkan, semua tindakan yang berhubung pelaburan berkenaan, adalah di luar skop tugasnya selaku Pengerusi Bukan Eksekutif, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra).

Beliau mengulangi pendirian sama apabila diaju bahawa beliau bertindak tanpa kebenaran bertulis daripada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual terbabit.

Iklan

Pendakwaan: Setujukah dengan cadangan saya, tanpa penglibatan Datuk Seri, pelaburan ini tidak mungkin berjaya.

Bung Moktar: Tidak setuju.

Iklan

Pendakwaan: Setujukah semua tindakan yang dibuat, adalah bagi memastikan kepentingan Datuk Seri dan isteri?

Bung Moktar: Tidak betul.

Pendakwaan: Saya cadangkan, Datuk Seri jelas mengetahui bahawa habuan akan diperoleh sekiranya pelaburan itu berjaya dibuat.

Bung Moktar: Tak betul, itu sangkaan melampau.

Pendakwaan: Setujukah, Datuk Seri telah menggunakan pengaruh dan jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra bagi memastikan pelaburan ini berjaya, supaya wang RM2.8 juta diterima oleh isteri dan Datuk Seri sendiri.

Bung Moktar: Tidak benar, saya tidak bersetuju.

Dalam pada itu, Pengerusi BN Sabah berkata, kurang bersetuju apabila dicadangkan beliau tidak mengikuti prosedur dan membelakangkan ahli lembaga menyuarat.

“Saya tidak setuju, dalam Felcra ada bahagian kewangan dan pelaburan, maka ia dikira sebagai pengurusan tertinggi.

“Justeru itu, tiada istilah saya membelakangkan keputusan ahli lembaga berhubung isu pelaburan ini,” katanya.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan secara rasuah memperoleh untuk dirinya, suapan wang tunai RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual amanah.

Dia didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.

Dua kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015 dan 12.16 tengah hari, 19 Jun tahun sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama, jam 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di lokasi, tarikh dan masa sama.

Prosiding di hadapan Hakim, Rosli Ahmad bersambung 24 September ini.