[VIDEO] Sebak, koperal berpisah dengan K9 Goran selepas bersara

Iklan

SUNGAI PETANI – [DIKEMAS KINI] Suasana sebak menyelubungi majlis penyerahan Program Adoption K9 PDRM apabila Koperal M Shivabalan, 38, berpisah dengan anjing pengesan kesayangannya, Goran yang bersara selepas enam tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Goran yang berusia lapan tahun dilihat seolah-olah enggan berpisah dengan Shivabalan yang juga anggota K9 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Iklan
Iklan

Menurut Shivabalan, sejak menerima tugasan menjaga Goran pada 2019, setiap momen amat bermakna kerana dia berbangga dapat mencurahkan kasih sayang kepada anjing pengesan yang cukup berdisiplin itu.

“Dia bagaikan rakan sekerja. Apa jua rintangan kami harungi bersama. Bila berpisah macam ini memang rasa sedih sebab sudah banyak tugasan kami jalankan bersama,” katanya pada Khamis

Iklan

Keakraban Goran dan Shivabalan terserlah semasa penyerahan dilakukan kepada pemilik baharu.

Shivabalan berkata demikian ketika ditemui semasa penyerahan Goran kepada pemilik baharu, Inspektor Lee Sheng Wey, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Iklan

Program julung kali itu disaksikan Ketua Penolong Pengarah D6 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zuraimi Zam Zam.

Dalam sesi berkenaan, jelas kelihatan hubungan rapat dan istimewa antara Shivabalan dan Goran, malah anjing itu seakan-akan tidak mahu berpisah dengannya.

Shivabalan berkata, sejak beberapa hari lalu, Goran kelihatan murung kerana seolah-olah menyedari bakal berpencen dan diserahkan kepada pemilik baharu.

Goran diserahkan kepada Sheng Wey sebagai pemilik baharu.

“Dua tiga hari ini dia murung. Nampak muka saya sahaja dia jadi sedih. Kalau makan pun dia tak boleh tanpa saya. ‘Bonding’ dia dengan saya sangat kuat. Saya pujuk pun dia tak mahu sebab tahu kami akan berpisah.

“Walaupun sudah diserahkan, kenangan bersama Goran tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Saya sendiri akan melawatnya di sana nanti,” katanya.

Sementara itu, Sheng Wey berkata, beliau mengalu-alukan kedatangan Shivabalan ke Ipoh sekiranya merindui Goran.

“Kalau Shiva rindu Goran boleh datang bila-bila masa. Saya akan beri dia kehidupan baharu, layanan mesra dan anggap sebahagian daripada keluarga,” katanya.

Menurut Zuraimi, program berkenaan merupakan yang pertama kali dilaksanakan sejak penubuhan Unit K9 pada 1968, selepas mendapat kelulusan rasmi Kementerian Dalam Negeri pada 16 Julai lalu.

Katanya, pengambilan K9 bersara akan melalui proses tapisan ketat, dengan keutamaan diberikan kepada penjaga asal sebelum dibuka kepada anggota PDRM lain dan orang awam yang benar-benar layak.

“Walaupun kami berat hati berpisah dengannya, kami percaya dia kini akan menjalani kehidupan baharu sebagai anjing peliharaan yang penuh kasih sayang,” ujarnya.

Zuraimi berkata, jasa Goran amat besar termasuk membantu mengesan bahan kes di 60 lokasi jenayah, melakukan 213 rondaan cegah jenayah, menyertai 40 tugasan jaga aman, serta terlibat dalam pelbagai program community policing.

Antara kejayaan membanggakan ialah membantu menyelesaikan satu kes bunuh di Kampung Batu 7, Binjul Luar, Kuala Ketil, Kedah pada 2024.

Untuk rekod, K9 Goran telah dibersarakan daripada perkhidmatan PDRM pada 16 Julai 2024 atas nasihat doktor veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.

“Terima kasih K9 Goran atas jasa kepada PDRM, masyarakat dan negara,” katanya.