Maqis Selangor rampas 88,539kg keluaran pertanian

Iklan
Maqis Selangor merampas keluaran pertanian sebanyak 88,539 kilogram dalam operasi bersepadu dijalankan agensi tersebut.

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas sebanyak 88,539 kilogram (kg) keluaran pertanian yang dianggarkan bernilai RM205,117.34.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, rampasan itu hasil operasi bersepadu pegawai penguatkuasa Maqis di pintu masuk Pelabuhan Klang Utara di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara keluaran pertanian yang dirampas termasuk bawang, ubi keledek, lobak merah dan kubis.

Ubi keledek dan lobak merah antara yang dirampas hasil operasi bersepadu pegawai penguat kuasa Maqis di pintu masuk Pelabuhan Klang Utara.

"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati pengimport gagal mematuhi syarat import iaitu tidak mematuhi syarat sijil perakuan penggredan, pembungkusan dan pelabelan (3P) sebagaimana yang dinyatakan dalam sijil perakuan 3P.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tarmisal berkata, Maqis sentiasa memantau dan memeriksa setiap pintu masuk negara bagi menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Iklan