Pesara rugi lebih RM838,000 diperdaya 'phone scam'

Iklan
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Azizee)

GEORGE TOWN – Seorang pesara berusia 75 tahun yang juga bekas jurulatih sukan di Pulau Pinang rugi RM838,328 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 September lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang mendakwa namanya telah disenarai hitam serta disyaki terbabit dalam aktiviti penyebaran maklumat palsu.

“Mangsa menafikan tuduhan itu namun diarahkan membuat laporan secara dalam talian. Selepas butiran dirinya disemak, suspek mendakwa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

Iklan

"Suspek kemudian meminta semua maklumat akaun simpanan wang milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pada 11 Ogos lalu, mangsa diarahkan memindahkan wang daripada akaun simpanan tetap ke dalam sebuah akaun atas nama mangsa sendiri sebelum diminta menyerahkan semua kad ATM berserta kata laluan untuk tujuan kononnya siasatan oleh Bank Negara Malaysia.

Iklan

“Mangsa diarahkan memasukkan semua kad tersebut ke dalam sampul surat dan meninggalkannya berhampiran pondok pengawal kawasan perumahan.

"Selepas serahan dibuat, mangsa ke bank untuk membuat semakan dan mendapati semua wang dalam akaunnya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga yang tidak diketahui," ujarnya.

Tambah Azizee, menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, Azizee menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan telefon yang mencurigakan, khususnya yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.

“Jangan mudah terpedaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan.

"Jika menerima panggilan seumpama itu, jangan kongsi maklumat peribadi dan segera hubungi pihak berkenaan untuk pengesahan," katanya.