BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam rakan sejawatnya dari Belgium dengan melabel beliau sebagai 'pemimpin lemah', sehari selepas Brussels mengumumkan akan mengiktiraf negara Palestin.
Langkah Belgium itu menambah kemarahan kerajaan Israel selepas Perancis, Britain, Kanada dan Australia turut menyatakan komitmen sama untuk melakukan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin ketika pemimpin dunia dijangka berhimpun di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan ini.
Iklan
Iklan
Pejabat Perdana Menteri Israel, dalam satu kenyataan di platform X, berkata bahawa Perdana Menteri Belgium, Bart De Wever, 'mahu memberi makan buaya sebelum ia membaham Belgium'.
"Israel akan terus mempertahankan dirinya," tambah kenyataan itu.
Pada bulan lalu, Netanyahu turut mengkritik Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dengan label serupa selepas Canberra mengumumkan pengiktirafan terhadap Palestin serta menghalang seorang ahli politik sayap kanan Israel daripada memasuki negara tersebut.
Rakyat Palestin sejak sekian lama menuntut penubuhan negara merangkumi Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur, serta Gaza yang kini diduduki Israel. Namun begitu, pemimpin Israel bertegas bahawa pengiktirafan antarabangsa itu tidak akan mengubah realiti di lapangan.
Israel kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak berhubung jumlah korban awam akibat operasi ketenteraannya di Gaza. – Agensi