BALIK PULAU – Seorang guru di sebuah sekolah di daerah Timur Laut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya minggu lalu.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, didakwa melakukan cubaan membunuh dengan menggunakan sebilah pisau, di mana tertuduh mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan kematian kepada Hanis Sofea Hamdan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik di rumah mereka di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas pada jam 5.45 pagi, 27 Ogos lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Tertuduh diwakili oleh barisan peguam iaitu Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia dilaporkan tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
"Tak faham," katanya di hadapan mahkamah.
Susulan itu, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penilaian psikiatri selaras dengan memo perubatan daripada Hospital Pulau Pinang.
"Saya mohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia, selaras dengan memo yang dikeluarkan oleh doktor dari Hospital Pulau Pinang," kata Lushani.
Permohonan tersebut turut dipersetujui oleh peguam bela kerana tertuduh didapati tidak mampu memahami perbincangan sebelum prosiding berlangsung.
"Kami barisan peguam bersetuju dan tiada bantahan terhadap permohonan ini memandangkan anak guam kami tidak fokus dan tidak memahami perbincangan yang dilakukan sebelum ini," ujar Yazid.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan merujuk kes mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
"Saya membenarkan permohonan untuk merujuk tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penilaian psikiatri. Kes ditangguhkan ke 8 Oktober ini untuk sebutan semula," kata Hakim Ahzal Fariz.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang guru wanita cedera di leher akibat dikelar suaminya, sebelum lelaki itu turut mencederakan dirinya dalam kejadian yang berlaku pada pagi Rabu lalu.
Kejadian sekitar jam 6 pagi itu disedari oleh ibu mangsa yang terdengar jeritan anaknya dari bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat tersebut.
Ibu mangsa yang bergegas naik ke tingkat atas mendapati menantunya sedang menindih anaknya, sebelum bertindak menyelamatkan mangsa.
Akibat kejadian itu, guru wanita berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan di leher namun dilaporkan stabil. Suaminya pula berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah di leher dan pergelangan tangan kiri, dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Suspek telah direman selama enam hari bermula 30 Ogos lalu bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.