GEORGE TOWN - Seorang guru lelaki yang bertindak mengelar leher isterinya dengan sebilah pisau dalam kejadian di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, minggu lalu akan dituduh di Mahkamah Balik Pulau pada Khamis.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam pada Rabu.
Iklan
Iklan
Suspek berusia 30 tahun itu sebelum ini direman enam hari bermula 30 Ogos lalu untuk siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang guru wanita cedera di leher akibat dikelar suaminya, sebelum lelaki itu turut mengelar dirinya sehingga cedera parah dalam kejadian pada Rabu lalu.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya yang berada di bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat berkenaan.
Ibu mangsa yang bergegas ke tingkat atas mendapati menantunya sedang menindih anaknya (isteri suspek) sebelum bertindak menyelamatkan keadaan.
Akibat insiden itu, guru wanita berusia 28 tahun berkenaan cedera di leher namun dilaporkan stabil, manakala suaminya yang juga seorang guru berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah di leher serta pergelangan tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.