Jadikan kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ dasar negara - Penganalisis ekonomi

Iklan
Kerajaan disaran menjadikan kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ sebagai dasar negara bagi memperkukuh rantaian ekonomi. - Gambar hiasan. Foto kecil: Mohd Azwardi

ALOR SETAR - Kerajaan disaran menjadikan kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ sebagai dasar negara bagi memperkukuh rantaian ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap produk import, khususnya dari China.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, dasar tersebut disasarkan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus produk dalam talian didominasi barangan tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Iklan
Iklan

Ini kerana, katanya, hampir 80 peratus produk yang dipasarkan secara dalam talian adalah barangan import dari China.

“Negara kita masih mempunyai kuasa beli yang baik. Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahun 2024 menunjukkan perbelanjaan e-dagang rakyat meningkat 15.4 peratus setahun dengan nilai sekitar RM707 bilion untuk perbelanjaan dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Mohd Azwardi berkata, kerajaan sewajarnya memanfaatkan sedikit keuntungan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan pusat latihan teknikal seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Vokasional.

“Institusi ini boleh dijadikan kilang berskala kecil bagi menghasilkan produk tempatan yang mampu menggantikan Low Value Goods (LVG), iaitu produk dalam talian bernilai bawah RM500 di platform e-dagang,” katanya lagi.

Iklan

Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai jualan lebih rendah iaitu 2.5 peratus terhadap barangan tempatan dari pusat latihan teknikal ini, berbanding 10 peratus pada LVG import.

“Tujuannya untuk beri kelebihan harga kepada produk keluaran tempatan dengan menjadikan kadar cukai ini sebagai satu polisi,” jelasnya.

Katanya, langkah itu selaras dengan semangat kemerdekaan yang memberi hak kepada negara untuk menggubal polisi yang melindungi kepentingan ekonomi tempatan.

“Pembuat dasar, pakar ekonomi dan pemain industri tempatan harus berganding bahu untuk memperkukuh ekonomi negara, seperti era 1980-an apabila Malaysia dihormati kerana kekuatan ekonominya.

“Rakyat tidak mahu hanya melihat angka ekonomi yang kompleks, mereka mahu merasai kesannya melalui kuasa membeli, peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi yang pelbagai,” ujarnya.

Tegasnya, kekuatan ekonomi sesebuah negara juga berkait rapat dengan maruah serta kedudukannya di peringkat antarabangsa, sebagaimana Amerika Syarikat dan China yang menjadi pengeluar utama barangan dunia selain pemilik teknologi.

“Malaysia masih kekal sebagai negara pengguna dan terlalu bergantung pada pelabur asing untuk menjana peluang pekerjaan serta mengimbangi eksport dan import negara. Malah, untuk membangunkan industri baharu pun masih perlu bergantung pada negara lain.

“Kita perlu martabatkan maruah negara melalui kuasa ekonomi supaya negara kita kembali dihormati,” katanya.

Tambahnya, pembuat dasar seharusnya menggunakan peluang sebaik mungkin untuk melonjakkan semula ekonomi negara.

“Sampai bila negara kita hanya terkenal sebagai syurga makanan, walaupun nasi lemak dan roti canai sudah terkenal di seluruh dunia. Adakah ekonomi kita hanya pada tahap itu?

“Sedangkan teknologi, pembuatan, dan pengilangan milik negara lain. Kita belajar pelbagai ilmu teknikal, profesional dan pengurusan, akhirnya bekerja dengan syarikat asing atau di negara asing. Adakah memadai kita hanya menjadi penumpang ekonomi dunia?” soalnya.