GEORGE TOWN- Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) giat membangunkan prosedur operasi standard (SOP) kawalan keladi agas berasaskan prinsip pengurusan rumpai bersepadu sejak 2022.
Pegawai Penyelidik MARDI, Dr Dilipkumar Masilamany berkata, SOP itu mampu membantu mengurangkan infestasi keladi agas di sawah padi pada kadar 70 hingga 100 peratus.
Menurutnya, keladi agas merupakan rumpai daun lebar yang cepat membiak melalui biji benih dan stolon, selain banyak ditemui di sawah bertakung, kolam, tali air dan kawasan cetek berair.
“Walaupun pada ketumpatan rendah, ia tetap memberi kesan besar kepada ekonomi pesawah. Sebagai contoh, kehilangan hasil padi sebanyak lima peratus pada hanya empat pokok setiap satu meter persegi sudah melebihi kos kawalan racun rumpai.
“Pada ketumpatan 24 pokok setiap meter persegi pula, keladi agas boleh mengurangkan hasil padi sehingga 45 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kawalan awal dan penggunaan SOP yang dibangunkan MARDI amat penting bagi mengelakkan kerugian hasil yang serius.
Mengulas lanjut, Dilipkumar berkata, pihaknya akan meneruskan kajian keladi agas melalui projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“MARDI akan membangunkan SOP pengurusan keladi agas 'site-specific' di kawasan tanaman yang rintang terhadap segelintir racun rumpai.
“Kami juga mengharapkan kerjasama dengan agensi-agensi pengembangan di bawah KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) untuk menyebarkan SOP ini kepada pesawah dan memantau keberkesanannya bersama di lapangan,” ujarnya.
Jelasnya, SOP itu bermula dari peringkat penyediaan tanah menggunakan sistem 'stale seedbed' iaitu dengan membiarkan keladi agas tumbuh terlebih dahulu sebelum dimatikan menggunakan racun rumpai pra-tanam seperti glyphosate, glufosinate atau tiafenacil.
“Langkah ini kemudian diikuti dengan pembajakan tanah yang berupaya memusnahkan anak benih keladi agas yang baru bercambah.
“SOP juga menekankan kepentingan membadai tanah sama rata serta mengekalkan paras air sawah melebihi lima sentimeter ketika peringkat awal pertumbuhan padi bagi mengurangkan percambahan keladi agas,” katanya lagi.
Tambahnya, kawalan kimia turut digariskan dalam SOP dengan penggunaan racun rumpai pra-cambah seperti pretilachlor sejurus selepas menyemai untuk menghalang percambahan awal keladi agas.
“Bagi kawalan rumpai lepas-cambah, racun seperti bispyribac-sodium, penoxsulam, 2,4-D, bentazon + MCPA, carfentrazon, ethoxysulfuron, bensulfuron, pyrazosulfuron, florpyrauxifen + cyhalofop dan lain-lain berkesan jika disembur pada peringkat awal pertumbuhan keladi agas iaitu ketika tiga hingga lima helai daun.
“Selain itu, pesawah juga perlu mengetahui rekod racun rumpai yang kurang berkesan atau telah menunjukkan kerintangan terhadap keladi agas di sawah mereka.
“Pemilihan racun daripada kumpulan bahan aktif yang berbeza penting supaya kawalan dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta MARDI menjalankan kajian lanjut mengenai tahap ancaman keladi agas serta mencari kaedah terbaik untuk mengawalnya.
Kata Mohamad, masalah keladi agas yang semakin membiak di sawah padi khususnya di kawasan Seberang Perai Utara kini menjadi ancaman serius kepada pengeluaran padi negara.
Tambah beliau, tumbuhan itu atau nama saintifiknya Monochoria vaginalis yang sebelum ini dianggap biasa kini merebak dengan pantas hingga menjejaskan pertumbuhan padi.
Selain itu, Mohamad juga mengingatkan pesawah agar mematuhi SOP kawalan rumpai termasuk semburan racun bermula daripada penyediaan tanah serta pada hari ke-15 hingga ke-18 selepas menanam padi.