Pengukuhan ringgit beri senyuman kepada peniaga tempatan di sempadan

Iklan
Musa (kiri) dan Salma mengakui pengukuhan ringgit sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan kos operasi kedai mereka.

PADANG BESAR – Pengukuhan nilai ringgit Malaysia (RM) sejak kebelakangan ini memberikan kelegaan dan senyuman kepada peniaga tempatan di kawasan sempadan seperti di Padang Besar yang bergantung kepada urusan dagangan dengan Thailand.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata peniaga melahirkan rasa gembira apabila nilai RM kini berada pada paras sekitar RM1 bersamaan antara 7.9 baht hingga 8.2 baht sekali gus memberi sedikit kelebihan dalam urusan pembelian barangan dari negara jiran itu.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga barangan kelengkapan dapur, Musa Talib, 64, berkata, walaupun keuntungan yang diperoleh tidaklah besar, pengukuhan ringgit tetap memberi kesan positif kepada peniaga tempatan.

“Sekurang-kurangnya kami dapat merasa sedikit peningkatan keuntungan. Sejak ringgit semakin kukuh beberapa hari kebelakangan ini, kos membeli barang dari Thailand menjadi lebih rendah berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Musa yang mempunyai sebuah kedai di sini dan juga di Kangar berkata, kesan pengukuhan ringgit lebih ketara kepada peniaga tempatan yang membeli barangan perniagaan dalam kuantiti besar dari sana.

Arked Padang Besar menjadi tumpuan pelancong tempatan untuk membeli barangan dan cenderahati dari negara jiran.

Iklan

Menurutnya, nilai RM yang meningkat juga dapat membantu mereka untuk membeli lebih banyak barangan berbanding sebelum ini.

“Kalau beli dalam jumlah besar, memang dapat rasa penjimatan itu. Ia membantu pusingan modal peniaga kecil seperti kami.

“Contohnya, saya membeli sabun yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari sana dalam kuantiti yang besar, saya boleh dapat harga lebih murah berbanding sebelum ini kerana nilai RM kita meningkat,” ujarnya yang berharap nilai RM akan terus mengukuh dan meningkat selepas ini.

Pandangan sama turut dikongsi oleh seorang lagi peniaga, Salma Abdullah, 55, yang berniaga di Arked Padang Besar mengakui pengukuhan ringgit sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan kos operasi kedainya.

Katanya, peniaga tempatan mula merasai kesan positif pengukuhan nilai ringgit dan berharap ia akan merancakkan lagi perniagaan mereka.

“Apabila nilai RM lebih baik, kami boleh merancang pembelian dengan lebih yakin. Walaupun tidak terlalu besar, ia tetap memberi kelegaan kepada peniaga tempatan di kawasan sempadan,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga kecil, Roziana Razak, 50, berkata, keuntungan yang diperoleh walaupun sedikit tetap mampu membantu menambah pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan harian.