Orang Malaysia berbudi bahasa tapi kaki buli

Iklan
Buli seolah-olah menjadi satu fenomena sosial yang serius yang sering berlaku dalam pelbagai kalangan masyarakat. Gambar hiasan

MERAK Jalanan nak tergelak bila seorang rakan berkata, “Orang Malaysia memang terkenal berbudi bahasa tapi kaki buli. Macam ada dua identiti.”

Nak nafi pun tak boleh sebab realiti, bukan lagi persepsi.

Iklan
Iklan

Katanya, dari sekolah rendah sampai ke universiti, di tempat kerja, di jalan raya, di media sosial, dalam politik, dalam kalangan kawan-kawan, malah dalam keluarga juga berlaku buli.

Merak Jalanan akui, buli ini seolah-olah menjadi satu fenomena sosial yang serius yang sering berlaku dalam pelbagai kalangan masyarakat.

Iklan

Masalahnya, bila benda salah dianggap biasa, ia jadi budaya. Orang kata, “Aku dulu pun kena, jadi kau pun kena.”

Inilah mentaliti rosak yang menjadikan buli diwarisi turun-temurun. Kitaran toksik yang tak pernah putus.

Iklan

Buli hanya nampak kecil bila kita bukan mangsanya. Tapi bila terkena pada diri atau anak sendiri atau ahli keluarga, barulah kita tahu betapa kejamnya perbuatan ini.

Buli bukan budaya, tapi penyakit. Dan penyakit ini takkan sembuh kalau kita masih bangga mengulanginya. Kalau nak jadi masyarakat berbudi bahasa, kita kena berani putuskan kitaran ini.

Ironi, kan? Di depan orang luar, kita tunjuk sopan santun. Tapi sesama sendiri, budaya buli macam perkara biasa.

Kalau betul budi bahasa itu budaya kita, kenapa buli masih berakar? Kenapa masih ada murid jadi trauma, pekerja ditekan dan diarah sesuka hati, netizen tak kira lelaki perempuan membelasah dengan komen jijik dan cercaan di media sosial, maki hamun dan carut di jalan raya dan sebagainya lagi.

Akhirnya, kita nak terus dikenali sebagai bangsa berbudi bahasa, atau bangsa bermuka manis tapi hati penuh racun?

Jika mahu benar-benar diiktiraf sebagai bangsa berbudi bahasa, langkah pertama ialah membuang budaya buli, bukan sekadar memasang slogan di papan-papan iklan.