Resort Pulau Perhentian tiada lesen jual arak – Exco

Iklan
Razali semasa sidang akhbar bersama pemberita selepas merasmikan Program DAD: CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian, Besut yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.

BESUT – Kerajaan Terengganu mengesan semua resort di Pulau Perhentian di sini tidak mempunyai lesen penjualan arak dan bakal berdepan tindakan sekiranya penguatkuasaan dilakukan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, maklumat tersebut adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan dan mendapati pengusaha atau pemilik resort gagal berbuat demikian.

Iklan
Iklan

“Perbuatan mereka itu berada dalam keadaan yang tidak direstui oleh kerajaan negeri. Jika ada penguatkuasaan, mereka akan dikenakan tindakan.

“Saya ingin pastikan pengusaha Melayu menjaga adat orang Islam dan dinasihatkan supaya menjaga adat Timur. Bagi yang bukan Islam, diharap bersopan dan tidak minum di tepi pantai secara terbuka,” katanya semasa sidang akhbar.

Iklan

Razali (dua,kanan) merasmikan Program DAD: CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian, Besut yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu dan hadir sama ialah Muhammad Nasir (kanan).

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Dive Against Debris (DAD): Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.

Iklan

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh; ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin; Pengarah Pelancongan, Hilman Hajijan; Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor dan Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Menurut ADUN Kijal itu, kerajaan Terengganu akan memastikan semua pihak yang terlibat menjadikan Pulau Perhentian sebagai lokasi pelancongan untuk percutian, bukan tempat untuk mabuk.

Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju sekiranya ada pelancong datang ke sini untuk mabuk, dan kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh memastikan perkara yang tidak direstui oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

Razali berkata, sekiranya gagal, kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.

Tambah beliau, terdapat 80 pengusaha di Pulau Perhentian dan 70 peratus pelancong yang datang ke pulau itu adalah dari luar negara, selebihnya pelancong tempatan.