KUALA NERUS - Pengalaman sebagai pemandu lori tipper mengangkut kayu getah menjadi kelebihan buat pasukan Rubber Tipper apabila muncul juara keseluruhan kategori Short Wheel Base sempena Terengganu Merdeka 4x4 Challenge 2025 yang melabuhkan tirainya di Bandar Baru Kuala Nerus di sini pada 31 Ogos lalu.
Lebih manis, kemenangan itu diraih hanya dengan menggunakan jentera Daihatsu Feroza 1.6 karburetor tanpa sebarang modifikasi kuasa tambahan seperti kebanyakan pesaing lain.
Pengurus pasukan, Muhammad Haikal Che Mat berkata, pasukannya yang berpangkalan di Merapoh, Pahang, pada awalnya hanya menyasarkan untuk menamatkan semua laluan sukar yang dipertandingkan.
"Kami hanyalah 'pasukan kampung'. Rata-rata ahli pasukan bekerja sebagai pemandu lori tipper untuk mengangkut kayu getah dari kebun dan ladang.
"Risau juga kalau jentera kami tidak mampu redah laluan berpaya dan anak sungai. Tapi syukurlah, semangat kerja kampung inilah yang bawa kami ke podium juara," katanya yang mengurus pasukan itu sejak 2022.
Rubber Tipper berjaya mengumpul 940 mata untuk membawa pulang wang tunai RM3,000, piala kemenangan serta hadiah tajaan barangan alat ganti perlumbaan.
Tempat kedua perlawanan itu dimenangi pasukan Ariff Paloh dengan kutipan 924 mata manakala Anok Derih di tempat ketiga selepas mengutip 896 mata.
Pertandingan edisi kelima itu melibatkan 152 jentera yang bersaing dalam 10 SS termasuk SS Rally untuk kategori Short Wheel Base dan Long Wheel Base.
Pengarah pertandingan, Muhammad Muzammil Mokhetar berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan dan optimis edisi akan datang mampu mengekalkan venue sama di Kuala Nerus.
"Selain laluan yang mencabar, kemudahan awam berhampiran litar memberi kelebihan kepada peserta yang hadir," katanya yang juga Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4).
Perlumbaan anjuran UT4x4 dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4x4 Kuala Terengganu itu turut disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Tourism Malaysia serta Kerajaan Negeri Terengganu.