TUMPAT – Seorang suami sempat meminta isterinya memotong kuku dan berpesan tidak akan pulang lagi sebelum dia hilang dikhuatiri lemas selepas keluar memancing di perairan Kelantan dari Tanjung Kuala di sini sejak Ahad lalu.
Isterinya, Che Bunga Yaakob, 63, berkata, tingkah laku suaminya, Ahmad Husin, 72, sejak seminggu kebelakangan ini agak berbeza apabila kurang bercakap dan kelihatan banyak termenung.
“Khamis lepas, dia minta saya potongkan kukunya, itu tak pernah buat sebab biasanya dia potong sendiri.
“Sebelum keluar lepas Subuh dengan motosikal roda tiga, dia sempat kata pada saya ‘pergi tak balik dah ni’, apabila saya tanya kenapa cakap macam tu, dia hanya senyum dan terus pergi,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut Che Bunga, sehari sebelum keluar rumah itu juga, Ahmad sempat potong rumput dalam jumlah yang banyak untuk bekal kepada empat ekor lembu peliharannya dan berpesan supaya memberi lembu makan kalau dia tiada.
Che Bunga berkata, sejak kehilangan suaminya itu, dia tidak nyenyak tidur malam kerana sering terbayang wajah lelaki itu, malah, selepas mengadakan solat hajat bersama kira-kira 40 penduduk pada Isnin malam, dia bermimpi suaminya itu pulang dalam keadaan tersenyum.
“Saya harap dia segera pulang, saya kerap terbayang-bayang wajah dia,” katanya.
Che Bunga memberitahu, Ahmad tahu berenang dan berpengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan selain turut mengambil upah kerja-kerja kampung termasuk menebang pokok.
“Biasanya, selepas Subuh keluar ke laut, 1 tengah hari dah balik.
“Tak pernah lama tak balik macam ni,” katanya.