IPOH - Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diterima lima sekeluarga di sini dapat meringankan beban perbelanjaan bagi bulan ini.
Penjawat awam, Mohd Fauzi Abd Aziz, 54 berkata, bantuan sekali bayar itu amat bermakna untuknya sebagai penanggung tunggal.
Menurutnya, inisiatif yang diberikan kerajaan itu menjadikan jumlah keseluruhan RM500 diterima keluarganya termasuk tiga anak perempuan berusia 20 hingga 27 tahun.
“Pemberian ini dapat meringankan sedikit bebanan berikutan setiap bulan saya membelanjakan sekitar RM300 bagi keperluan barangan kering.
“Selain menambah barangan keperluan bulanan, ia juga memberi kelebihan kepada anak bongsu yang masih belajar, bolehlah dia membeli keperluan peribadi dan alat tulis,” katanya.
Mohd Fauzi berpendapat bahawa penggunaan bantuan SARA yang terhad adalah baik bagi mengelakkan sebarang pembelian yang tidak sepatutnya.
“Saya akan menebus secara berperingkat berikutan program berakhir hujung tahun dan wang ini akan digunakan sebaiknya.
“Bantuan ini perlu diteruskan setiap tahun kerana ia sangat membantu bagi keluarga yang memerlukan dan terima kasih kerajaan kerana memahami nadi rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan RM100 sekali bayar kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan.
Bantuan itu dikreditkan bermula Ahad lalu dan boleh ditebus menggunakan MyKad untuk bayaran secara tanpa tunai.
Pengguna boleh membeli barangan keperluan asas berdasarkan 14 kategori produk terpilih yang boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis seluruh negara.