Terengganu tubuh pasuk SAR khas di Pulau Perhentian, Lang Tengah

Iklan
Razali (tengah) merakam gambar bersama pelbagai agensi dan pasukan keselamatan yang terlibat dalam pasukan SAR khas di Pulau Perhentian dan Lang Tengah.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Khas Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah bagi mengukuhkan aspek keselamatan pelancong di kawasan peranginan tersebut.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pasukan itu akan beroperasi setiap tahun ketika musim kemuncak kedatangan pelancong bermula Mac hingga Oktober.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasukan berkenaan akan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ketua Polis Daerah Besut dengan Balai Polis Perhentian dijadikan pusat panggilan (call centre) bagi menerima sebarang aduan atau kecemasan sepanjang operasi berlangsung.

"Kerajaan negeri mengambil langkah ini selepas mengambil kira beberapa insiden melibatkan keselamatan pelancong di Pulau Perhentian sebelum ini.

Iklan

"Kita mahu meningkatkan keyakinan pengunjung sekali gus memastikan keselamatan mereka lebih terjamin," katanya di sini pada Selasa.

Razali berkata, pelaksanaan pasukan itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Besut, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kesihatan negeri, pengusaha pelancongan serta komuniti setempat.

Iklan

"Jabatan Laut Malaysia juga bersetuju menyediakan kemudahan logistik termasuk bot bagi tujuan kecemasan selain sokongan teknikal ketika operasi menyelamat," jelas beliau.

Melalui inisiatif itu, katanya, beliau yakin pulau-pulau di Terengganu akan dijadikan sebagai destinasi pilihan utama pelancong dalam dan luar negara dengan jaminan keselamatan yang disediakan.

"Kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan pelancong kerana mereka adalah aset penting yang menyumbang kepada ekonomi negeri," katanya.

Jun lalu, ombak kuat dan cuaca buruk menyebabkan sebuah bot yang membawa sekumpulan pelancong di perairan Pulau Perhentian terbalik mengakibatkan tiga penumpang termasuk dua kanak-kanak maut.