100 pelajar Jepun dendangkan lagu Sejahtera Malaysia

Iklan
Tangkap layar video dimuat naik pada Isnin. Kredit/ Facebook The Band Lab.

SHAH ALAM - Lagu Sejahtera Malaysia bergema di Jepun, dendangan lebih 100 pelajar Sekolah Menengah Tinggi Kyoto Ryoyo sempena memperingati Hari Kebangsaan ke-68.

Lebih menarik lagi, lagu patriotik tersebut disusun oleh komposer asal Malaysia, Yeo Chow Shern.

Iklan
Iklan

Momen membanggakan itu dimuat naik di Facebook, The Band Lab yang disertakan dengan dua video menunjukkan pelajar Jepun menyanyikan lagu tersebut di bawah pimpinan pemuda berkenaan.

"Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia! Ini merupakan tanda penghormatan kami buat tanah air tercinta dari Jepun.

Iklan

"Tiada yang lebih membanggakan selain dapat berkongsi lagu patriotik negara kita, ‘Sejahtera Malaysia’ bersama lebih 100 pelajar sekolah menengah tinggi Kyoto Ryoyo.

“Muzik sememangnya tiada sempadan!” katanya pada Isnin.

Iklan

Sejahtera Malaysia ialah lagu patriotik yang mengangkat nilai kedamaian, keharmonian serta perpaduan rakyat di negara ini.

Namun, kali ini Chow Shern memberikan nafas baharu iaitu dendangan dalam bentuk persembahan koir pelajar Jepun.

Untuk rekod, Chow Shern semakin mendapat perhatian dalam dunia seni muzik kerana sebelum ini beliau pernah diiktiraf melalui karya yang dinamik dan penuh bertenaga.

Beliau juga memperoleh pengiktirafan menerusi pelbagai pertandingan dan festival antarabangsa, sekali gus meninggalkan kesan terhadap arena muzik kontemporari di rantau Asia.

Bukan itu sahaja, pemuda terbabit menamatkan pengajian di Yong Siew Toh Conservatory of Music di Universiti Nasional Singapura (NSU) dengan pengkhususan komposisi dan minor dalam biola.

Chow Shern turut belajar dalam bidang pendidikan muzik di Malaysian Institute of Art dan pernah mengikuti program pertukaran pelajar ke Peabody Institute of Music Baltimore, Amerika Syarikat (AS).