JAKARTA – Seorang kanak-kanak tular selepas mencuri jam tangan mewah model Richard Mille RM 40-01 McLaren Speedtail, dianggarkan bernilai 11.7 bilion rupiah (RM3.02 juta) milik Ahli Dewan Perwakilan Indonesia, Ahmad Sahroni.
Insiden berlaku ketika rumah Sahroni di RT 006/004, Kebon Bawang, Tanjung Priok, Jakarta Utara, diserbu orang ramai.
Rakaman video kanak-kanak itu mempamerkan jam yang dijarah menjadi tular di media sosial.
Susulan kejadian, Polis Jakarta Utara segera memulakan siasatan, manakala pegawai setempat mengunjungi rumah kanak-kanak tersebut.
Ibu bapa kanak-kanak itu kemudian mengembalikan jam yang dicuri kepada pihak berkuasa tempatan.
“Proses pemulangan jam mewah Ahmad Sahroni bernilai 11 bilion rupiah yang telah dijarah dilakukan melalui Imammudin dan disertai oleh ketua Rukun Tetangga serta ketua Rukun Warga,” menurut hantaran Instagram @jakut24jam, dipetik Tribunnews pada Isnin.
Ibu kanak-kanak itu menjelaskan dia telah menasihati anaknya bahawa jam tersebut bukan milik mereka dan mesti dikembalikan.
“Saya kata kepadanya, jam ini bukan milik kita, kita mesti pulangkan. Ini memang bukan hak kita,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa dirinya sendiri tidak tahu cara mengendalikan jam tangan mewah tersebut.
“Memegang pun tidak pernah, apatah lagi tahu menggunakannya. Kami orang biasa sahaja,” katanya.
Selain jam mewah, pelbagai barangan berharga di rumah Sahroni turut diambil ketika kejadian.
Penduduk dilaporkan menjarah beg tangan Hermes dan Louis Vuitton, piano besar, figura aksi Iron Man dan Spider-Man, diploma, sijil tanah, sijil kelakuan baik (SKCK), figura F1, televisyen, MacBook, kasut Air Jordan, PS5, peti besi, dan peti sejuk.
Ekoran kejadian tersebut, Timbalan Ketua Polis Negara Indonesia, Komjen Dedi Prasetyo menegaskan bahawa polis akan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk penjarahan atau kekacauan.
Menurutnya, arahan telah dikeluarkan kepada semua unit polis wilayah dan daerah untuk menjalankan rondaan berskala besar bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) di seluruh negara bagi menjamin keselamatan awam.
“Kami hadir untuk melindungi setiap nyawa, harta dan fasiliti milik rakyat,” tegasnya.