SAKON NAKHON – Seorang wanita berusia 20 tahun dari Sakon Nakhon menderita kesakitan berbulan-bulan selepas doktor didakwa tertinggal sekeping kain kasa dalam rahimnya ketika pembedahan caesarean pada 10 Mei lalu.
Wanita itu mula mengalami sakit perut yang teruk sebulan selepas bersalin, sebelum menemui cebisan kain kasa berbau busuk terkeluar daripada bahagian sulitnya.
Dia kemudian mendapatkan rawatan kecemasan di hospital lain, di mana doktor berjaya mengeluarkan kain berkenaan dan merakam gambar sebagai bukti sebelum menahannya selama 10 hari bagi menjalani rawatan antibiotik.
Namun, keadaannya semakin teruk apabila dia terus mengalami sakit perut berulang meskipun sudah beberapa kali mendapatkan rawatan susulan.
Pada 14 Ogos, doktor akhirnya memaklumkan bahawa dia mengalami jangkitan kronik yang memerlukan rawatan berterusan.
Mangsa sebelum ini menerima pampasan awal 90,000 baht (RM11,700) daripada Pejabat Kesihatan Wilayah tetapi menganggap jumlah itu tidak mencukupi.
Selain menanggung kos rawatan tinggi, dia juga kehilangan pekerjaan, terpaksa berhutang untuk perbelanjaan hospital dan tidak dapat menyusukan anaknya.
Lebih malang, suaminya meninggalkannya kerana tidak tahan dengan bau busuk akibat jangkitan yang dialaminya.
Wanita itu kini menuntut pampasan 500,000 baht (RM65,000), manakala pihak hospital menyatakan terbuka untuk menilai semula jumlah pampasan tersebut. – Agensi