MARANG –"Kali terakhir jumpa, mak dan ayah bersungguh-sungguh pesan supaya jaga adik-adik sebab itu sahaja harta yang mereka ada."
Demikian luah Muhammad Aniq Arsyad, 24, anak kedua kepada pasangan Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, yang meninggal dunia akibat lemas setelah bot fiber dinaiki terbalik dilambung ombak di perairan Kuala Merchang di sini pada Ahad.
Muhammad Aniq yang merupakan pelatih di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak berkata, kata-kata arwah ayahnya pada dua minggu lalu rupa-rupanya pesanan terakhir yang tersirat makna sebelum meninggal dunia.
"Kali terakhir jumpa mereka berdua waktu saya balik kampung cuti dua minggu lepas, waktu tu saya rasa agak pelik sebab ayah pesan sungguh-sungguh supaya jaga adik-adik. Ayah kata dia dan ibu tiada harta, itu (adik-adik) sahaja harta yang ditinggalkan.
"Saya ingat ia hanya nasihat biasa, rupa-rupanya itulah pesanan terakhir sebelum mereka pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Serating di sini pada Isnin.
Menurut Muhammad Aniq, pada mulanya dia menganggap mesej diterima daripada adiknya jam 4.10 pagi pada Isnin yang memberitahu bot dinaiki ibu bapanya terbalik sekadar gurauan.
"Lepas saya terima panggilan bertalu-talu daripada ahli keluarga, barulah saya sedar ia benar-benar berlaku.
"Sekitar jam 5 pagi, mak saudara beritahu ayah dan emak sudah tiada... waktu itu saya terus mohon kebenaran jurulatih untuk pulang ke kampung,” katanya sebak.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Abdul Rahim dan Norhasriah turun ke laut untuk untuk menangkap ikan sebelum bot dinaiki dilaporkan terbalik akibat dilambung ombak besar.
Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad jam 2.40 petang pada Isnin dengan dihadiri lebih 200 orang ahli keluarga, jiran dan kenalan.
Pasangan yang tinggal di Kampung Pulau Kerengga itu meninggalkan enam anak termasuk Muhammad Aniq Arsyad.
Lima yang lain ialah Nur Nadhirah, 26; Nur Nabilah, 23; Muhammad Haziq Adha, 19; Nur Najihah, 16 dan Nur Nadzirah, 15.