Pelihara warisan batik seiring pertahan kemerdekaan

Iklan
Lebih 2,000 peserta meriahkan Merdeka Batik Fun Walk 2025 di Kota Bharu.

KOTA BHARU - Seperti perjuangan mencapai kemerdekaan yang menuntut pengorbanan, ketelitian warisan batik sebagai simbol jati diri bangsa juga wajar terus dipertahankan oleh generasi kini.

Semangat itu diterjemahkan melalui penganjuran Merdeka Batik Fun Walk 2025 yang dianjurkan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Presiden POKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, program itu bukan sekadar meraikan ulang tahun Kemerdekaan, malah sebagai usaha mengangkat batik sebagai identiti budaya yang tidak lapuk ditelan zaman.

“Batik ini lahir daripada kesungguhan dan ketekunan, sama seperti semangat pejuang yang mengorbankan jiwa raga demi Kemerdekaan.

Iklan

"Kami mahu generasi muda sedar bahawa menghargai batik juga sebahagian daripada menghargai perjuangan bangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Program julung kali anjuran POKB bersama Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu itu menarik lebih 2,000 penyertaan termasuk pengusaha batik, komuniti Siam serta masyarakat pelbagai lapisan.

Iklan

Perarakan sejauh dua kilometer yang bermula dari Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, diserikan dengan kepelbagaian gaya pemakaian batik sama ada kain sarung, baju batik atau t-shirt yang digayakan secara kreatif oleh peserta seawal usia tiga tahun hingga warga emas berusia 80 tahun.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, manakala perasmian disempurnakan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor.

Nik Izani berkata, pihaknya berhasrat menjadikan program itu sebagai acara tahunan dan menyasarkan untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai perhimpunan batik terbesar di negara ini.

“Kita dapat lihat bukan sahaja orang ramai, malah pengayuh beca pun sudah lama memakai kain batik ikat di pinggang.

"Ini bukti batik sudah menjadi identiti masyarakat yang perlu dijaga sampai bila-bila,” katanya.

Selain perarakan, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk pertandingan pakaian tercantik, pameran dan jualan batik tempatan serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana menetapkan pemakaian batik pada setiap hari Khamis, langkah yang menurutnya berjaya meningkatkan lagi industri batik tempatan.