SHAH ALAM - Demi meluangkan masa bersama keluarga dan mengejar cita-cita membina perniagaan sendiri, seorang bekas pengurus projek dalam industri minyak dan gas sanggup meninggalkan kerjaya bergaji besar untuk menceburi bidang keusahawanan makanan.
Mohd Farid Mohd Zaki, 33, yang berasal dari Kuantan, Pahang, mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam industri minyak dan gas, bermula sebagai pelukis pelan sambilan ketika masih menuntut dalam jurusan seni bina.
Menurutnya, hasil komitmen serta prestasi cemerlang, beliau berjaya mengembangkan kerjaya hingga memegang jawatan tinggi sebagai pengurus projek.
“Saya bermula dari bawah dan sentiasa komited dengan kerja. Dari pelukis yang hanya duduk di kerusi pejabat, saya mula belajar cara mengurus tapak bina, pekerja, kira cash flow dan buat jualan.
“Dalam setahun, saya akan hadiri banyak kursus teknikal kejuruteraan dan seminar jualan. Akhirnya, selepas beberapa tahun, saya berjaya memperoleh jawatan tinggi dalam syarikat tersebut.
“Namun, kerja saya sebelum ini memang 24 jam, hari cuti pun sering dapat panggilan kerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Farid mengakui bahawa kekangan masa bersama keluarga menjadi faktor utama beliau memilih untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada membina perniagaan sendiri.
Memilih perniagaan popia sebagai haluan baharu sejak Februari lalu, Farid berkata. bidang makanan menjanjikan aliran tunai lebih cepat, selain popia menjadi pilihan harian rakyat Malaysia.
Namun, beliau tidak menafikan pelbagai cabaran dihadapi terutamanya pada peringkat awal.
“Selepas pandemik, ramai orang mula berniaga. Jadi agak sukar bersaing kerana pelanggan belum mengenali produk kita.
“Malah, ada juga pandangan sinis apabila saya, seorang bekas pengurus projek, bertukar menjadi penjual popia. Tetapi bagi saya, tiada apa yang perlu dimalukan jika kita ikhlas berusaha,” katanya.
Menurutnya, strategi pemasaran termasuk kajian pasaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), resipi tersendiri serta penjenamaan peribadi (personal branding) membuahkan hasil apabila produknya, Popia Gegulung, kini mula dikenali dan mendapat tempahan dari luar Pahang.
Farid anak kedua daripada tujuh beradik, kini berhasrat memperluaskan perniagaannya ke pasaran yang lebih besar.
“Saya bercita-cita untuk membawa popia ini ke pasar raya, malah jika ada rezeki, membangunkan konsep francais.
“Saya juga mahu membina personal branding yang kukuh seperti usahawan lain yang berjaya,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusannya berhenti kerja, walaupun menerima pelbagai tawaran dari syarikat lain, adalah keputusan terbaik demi keluarga dan masa depan.
“Saya mahu buktikan, walaupun hanya menjual popia, kita tetap boleh berjaya jika bersungguh-sungguh,” katanya.