KUALA LANGAT - Seorang lelaki tercampak keluar manakala tiga lagi tersepit selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar sebatang pokok dalam kemalangan maut di Kilometer 27.7, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 2.37 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
“Kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok. Seramai tiga mangsa ditemui tersepit, manakala seorang lagi tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan peralatan khas.
“Kesemua mangsa terlibat, yang berusia dalam lingkungan 40-an, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kemalangan tersebut.