[VIDEO] Patriotisme berkibar bak Jalur Gemilang

Iklan

PETALING JAYA - Detik bersejarah 28 tahun lalu menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah di puncak dunia apabila dua rakyat Malaysia buat pertama kalinya berjaya menawan puncak Gunung Everest.

Datuk M Magendran dan Datuk N Mohanadas menjadi saksi sehelai bendera mampu mewakili maruah dan aspirasi seluruh rakyat diangkat dengan penuh rasa cinta kepada tanah air.

Iklan
Iklan

Memori indah terpahat di ketinggian 8,848 meter itu nyata bukan sekadar kejayaan seorang pendaki, tetapi simbol keberanian, ketabahan dan semangat rakyat dibawa bersama ke altitud tertinggi menerusi Projek Malaysia-Everest 1997.

Namun, ironi hari ini, bendera yang pernah menjadi lambang kejayaan di puncak Everest terpalit dengan kontroversi di tanah sendiri disebabkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab bertindak memperlekeh panji kebangsaan apabila dipasang secara terbalik.

Iklan

Beberapa insiden tersebut bukan sahaja mencalarkan semangat patriotisme rakyat, malah turut memberi kesan peribadi kepada insan pertama mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi dunia.

Magendran (kanan) mengibarkan Jalur Gemilang di Puncak Gunung Everest pada 1997.

Iklan

Magendran, 62, yang merupakan warga Malaysia pertama tiba di puncak Gunung Everest, mengakui situasi tersebut sangat menyedihkan apabila Jalur Gemilang yang pernah mengharumkan nama negara menjadi titik perselisihan yang menguji makna sebenar patriotisme.

“Benar. Saya pernah mengibarkan bendera Malaysia di puncak gunung tertinggi dunia dan kali pertama Jalur Gemilang dikibarkan di situ.

“Saya rasa sangat bangga dengan kejayaan pasukan Malaysia-Everest 1997 dan ia menjadi inspirasi kepada ramai belia Malaysia.

“Hari ini, apabila timbul isu bendera terbalik, saya tidak pasti sama ada dilakukan dengan sengaja atau tidak.

“Sebagai guru, saya pernah lihat pengawas sekolah memasang bendera terbalik..itu pun kerana budak-budak, bukan disengajakan. Dari sekolah lagi kita ajar cara hormat bendera, mana atas mana bawah,” luahnya ketika Gathering of Climbers & Trekkers 2025 and Celebrating the Success of the Trans-Titiwangsa V6 Team, baru- baru ini.

Magendran

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemasangan bendera secara terbalik oleh individu dewasa tidak sepatutnya berlaku.

“Kita kena tahu tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Contohnya, bendera (dipasang terbalik) adalah serius kerana ia lambang negara berdaulat.

“Jadi, janganlah sampai bendera diperlekeh terutama sekali jika ada yang sengaja melakukannya,” tegasnya.

Namun, beliau berpandangan meskipun berlaku kesilapan, setiap insiden tidak sepatutnya dijadikan modal provokasi yang boleh mengundang perpecahan dalam masyarakat.

“Tegurlah dahulu. Jangan terus menghukum atau buat provokasi.

“Sekarang ini, isu kecil cepat jadi besar sedangkan boleh diselesaikan di peringkat bawah sahaja.

“Siasat dahulu sama ada ia benar-benar kesilapan tidak disengajakan atau memang ada niat. Kadangkala murid sekolah atau orang tua mungkin melakukan kesilapan tanpa sedar,” pesannya.

Mengimbas kembali ekspedisi menuju Everest 1997, Magendran berkata, pada hakikatnya, semangat berpasukan setiap rakyat terlibat dalam misi tersebut menjadi nadi untuknya terus melangkah meskipun perit.

Katanya, semua peserta melalui proses pemilihan ketat dan hanya 10 daripada 120 dipilih selepas menjalani latihan selama dua tahun setengah.

“Bukan semuanya yang terbaik dari segi teknikal dipilih, tetapi mereka yang mampu bekerjasama dalam pasukan.

“Setiap pagi di base camp, kami nyanyikan lagu Negaraku untuk saling mengingatkan tujuan.

“Ada masa kami sakit atau lemah semangat, tetapi kami sentiasa beri kata-kata motivasi antara satu sama lain,” katanya.

Ujarnya, semangat patriotisme itu juga membuatkan beliau terus bersemangat memerah kudrat dan mengiringi setiap nafas, walaupun hanya wujud komunikasi sehala.

“Walaupun ketika mendaki di peringkat akhir, saya bergerak secara solo dengan topeng oksigen, saya tetap mendengar semangat daripada rakan melalui walkie-talkie dari base camp.

“Saya tidak boleh bercakap sebab pakai topeng oksigen. Tapi komunikasi buat kami tidak berputus asa,” katanya.

Magendran dan Mohanadas berjaya menawan puncak Everest pada 23 Mei 1997.