Suami curang dengan sahabat baik, wanita gantung sepanduk dedah perbuatan

Iklan
Seorang wanita bertindak menggantung sepanduk dakwa suami curang dengan rakan baik. - Agensi

CHANGSHA - Seorang wanita di wilayah Hunan, tengah China, mencetuskan kontroversi apabila menggantung sepanduk merah di kawasan perumahannya secara sarkastik untuk “mengucapkan terima kasih” kepada sahabat baiknya kerana menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya selama lima tahun.

Tindakan itu menarik perhatian jiran serta tular di media sosial.

Iklan
Iklan

Sepanduk berkenaan turut menamakan sahabatnya, dikenali sebagai Shi dan menuduh wanita itu melanggar ketenteraman awam serta norma moral kerana tidur bersama suami wanita terbabit sekali gus mengundang perhatian ramai.

Beberapa sepanduk lain mendakwa Shi pergi ke hotel bersama suami wanita tersebut semasa waktu pejabat.

Iklan

Kakitangan pejabat pengurusan pelancongan tempat Shi bekerja mengesahkan beliau bertugas di situ dan kini sedang disiasat. Sepanduk berkenaan kemudiannya diturunkan.

Peguam Zhao Liangshan menegaskan tindakan sebegitu boleh melanggar hak privasi, reputasi dan personaliti Shi, khususnya jika dakwaan yang dibuat palsu atau berbentuk fitnah.

Iklan

Beliau menjelaskan, menayangkan sepanduk di tempat awam juga boleh melanggar Undang-Undang Penguatkuasaan Keselamatan Awam China, yang membawa risiko denda sehingga 200 yuan (RM158) atau penjara sehingga 19 hari bagi kes serius.

Reaksi dalam talian bercampur-campur; ada yang menyokong tindakan balas wanita itu, manakala ada yang bimbang tentang implikasi terhadap Shi, yang merupakan penjawat awam.

Pemerhati turut menekankan bahawa dalam tradisi masyarakat Cina, panji merah biasanya melambangkan ucapan terima kasih, sekali gus menambah ironi kepada tindakan “menghargai” sahabatnya itu. – Agensi