RANG Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) digubal dengan tujuan utama menjaga kebajikan rakyat agar mereka tidak terus tinggal di bangunan usang dan daif.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, RUU itu menetapkan prinsip jelas bahawa pemilik asal tidak akan dihalau keluar selepas kawasan kediaman mereka dibangunkan semula.
Menurutnya, penduduk kekal layak mendiami kawasan sama kecuali mereka sendiri mahu berpindah ke lokasi lain.
“Prinsip kedua dalam RUU ini jelas, penduduk kekal di kawasan asal. Tiada siapa yang akan dihalau keluar malah mereka layak dapat unit kediaman baharu di tapak yang sama,” katanya pada Jumaat.
Kor Ming menegaskan, pampasan yang ditawarkan juga jauh lebih baik berbanding keadaan asal.
“Jika sebelum ini rumah hanya berkeluasan 500 kaki persegi dengan satu bilik dan satu bilik air, selepas pembaharuan minimum mereka dapat 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.
“Ini prinsip pampasan tidak kurang menguntungkan yang termaktub dalam seksyen 24 RUU PSB,” katanya.
Menurut Kor Ming, ketetapan itu menggambarkan sifat manusiawi kerajaan Madani dalam melindungi rakyat.
“Kita tetapkan tiga bilik kerana satu untuk pasangan suami isteri, satu untuk anak lelaki dan satu untuk anak perempuan. Begitulah cara kita jaga rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan penempatan sementara yang disediakan juga kondusif dan tidak akan menyusahkan penduduk.
“Pemaju mesti bina satu blok sementara dahulu sebelum projek baharu dimulakan. Penduduk boleh pindah ke blok itu sehingga rumah baharu siap.
“Jika tidak mahu pindah ke blok sementara, pemaju diwajibkan beri subsidi sewa. Penduduk boleh pilih untuk tinggal di mana sahaja sementara menunggu rumah siap,” katanya.
Menurut Kor Ming, pilihan itu diberikan supaya rakyat bebas menentukan kediaman sementara tanpa sebarang tekanan.
“Penduduk boleh guna subsidi sewa itu untuk tinggal di tempat yang mereka rasa selesa. Apabila projek siap, mereka pindah balik ke unit baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan, semua prinsip itu digubal untuk memastikan rakyat mendapat manfaat sebenar daripada RUU PSB.
“Undang-undang ini bukan untuk kayakan pemaju, tetapi untuk tingkatkan taraf hidup rakyat.
“Rumah lama ditukar kepada rumah baharu yang lebih bernilai,” tegasnya.
Kor Ming turut menolak dakwaan pembangkang kononnya pemilik akan kehilangan hak tanah mereka.
“RUU ini jelas lindungi pemilik asal. Pampasan diberi setimpal, unit baharu pula lebih besar dan lebih baik. Jadi apa sebab untuk bantah?” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan Madani tidak akan mengulangi kesilapan lalu apabila penduduk dipaksa pindah melalui Akta Pengambilan Tanah seperti berlaku pada Razak Mension.
“Kali ini kita pastikan persetujuan pemilik diutamakan. Selepas 80 peratus bersetuju barulah rundingan bermula. Semua ini untuk melindungi rakyat,” katanya.