LIPIS -Tahun lalu, aksi 'Superman' seorang penunggang motosikal RX-Z menjadi perhatian, kali ini lakonan polis trafik merakam pengguna jalan raya menggunakan kamera perangkap laju pula tular.
Aksi tersebut dipaparkan oleh kontinjen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis ketika perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah di sini pada Ahad.
Penampilan anggota polis trafik itu mencuit hati pengunjung dan warga maya apabila aksi tersebut turut dilengkapi dengan prop tambahan berupa sebungkus teh ais ikat tepi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, idea itu ditampilkan oleh Bahagian Logistik dan Teknologi (Cawangan Pengangkutan) IPD Lipis.
Menurutnya, kelainan itu nyata menarik perhatian pengunjung kerana realiti yang ditampilkan oleh anggota trafik ketika bertugas.
"Saya memuji idea dan kelainan selain komitmen yang ditampilkan anggota terlibat setiap tahun," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, anggota terlibat yang melakonkan aksi tersebut iaitu Koperal Nik Fadhlur Rahman Nik Ahmad,32, mengakui terkejut apabila lakonannya tular di media sosial.
Jelasnya, teh ais ikat tepi yang dibawa merupakan realiti dihadapi sebagai polis trafik sepertinya ketika bertugas di lapangan.
"Ikutkan saya bidan terjun kerana menggantikan orang lain dan memang berdebar juga.
"Jadinya saya terus spontan dan tidak sangka ia menarik perhatian pengunjung dan media sosial," tambahnya lagi yang sudah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota polis.