Sultan Pahang, Tengku Ampuan berkenan raikan rakyat selepas sambutan Hari Kebangsaan

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyantuni rakyat selepas berakhir sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pahang di padang MBK1 di sini pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN

KUANTAN – Suasana sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan Satu (MBK1) bertambah meriah dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan meluangkan masa meraikan rakyat selepas majlis berakhir.

Turut mengiringi baginda ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turun dari pentas sebaik mendengar laungan"Daulat Tuanku" dan"Merdeka" daripada para pengunjung.

Iklan
Iklan

Baginda berdua kemudian mendekati pengunjung yang menunggu peluang untuk bersua muka, sekali gus mewujudkan suasana penuh ceria.

Ada yang menghulurkan tangan untuk bersalaman, dan ada pula yang mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama pasangan diraja.

Iklan

Keakraban baginda berdua jelas terserlah apabila melayan rakyat dengan penuh mesra, malah sempat berbual singkat serta menyantuni mereka tanpa mengira usia.

Senyuman yang tidak lekang dari wajah Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menambahkan lagi rasa terharu dalam kalangan mereka yang hadir.

Iklan

Al- Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah bersua muka dengan pengunjung yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pahang di padang MBK1 pada Ahad.

Momen tersebut meninggalkan kesan mendalam buat sebahagian pengunjung di Padang MBK1, sekali gus menjadikan sambutan kemerdekaan kali ini bukan sekadar acara perbarisan dan persembahan, tetapi turut diwarnai detik bersejarah antara rakyat dengan institusi diraja.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama selain menyaksikan persembahan 150 kontinjen yang merangkumi 82 kontinjen berjalan kaki dan 68 kontinjen berkenderaan sepanjang lebih dua jam acara berlangsung.

Acara sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan kehadiran empat pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang melakukan lintas hormat (flypast) di ruang udara Bandaraya Kuantan.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Pahang pada tahun ini dihadiri kira-kira 50,000 orang pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk melihat persembahan istimewa yang disediakan.

Pekerja swasta, Syarifah Amina Abdullah, 34, berkata, pengalaman bergambar dengan Sultan Abdullah serta Tunku Azizah merupakan satu momen yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

“Saya rasa sangat terharu kerana bukan sahaja dapat melihat baginda dari jauh, malah berpeluang bersua muka.

"Senyuman Tuanku membuatkan kami rasa begitu dekat dengan keluarga diraja,” katanya.