MELAKA – Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dua pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM dan pesawat angkut taktikal C-130H Hercules memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Jalan Merdeka, Banda Hilir, di sini pada Ahad.
Persembahan udara selama tiga minit dengan aksi pusingan merentas pentas utama tetamu kehormat disambut dengan sorakan serta tepukan orang ramai yang teruja menyaksikan sambutan peringkat negeri itu.
Ia kemudian disusuli dengan deruman sebuah pesawat Airbus A400M, pesawat turboprop pengangkut tentera dan penangki minyak, serta pesawat C-130H yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sekali gus menaikkan semangat patriotisme rakyat yang membanjiri lokasi perarakan sejak awal pagi.
Tidak ketinggalan, persembahan payung terjun dari pasukan 10 Briged PARA dan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang membawa Jalur Gemilang serta bendera Negeri Melaka turut mencuri perhatian.
Selain itu, sambutan peringkat negeri ini menampilkan penyertaan terbesar dengan kehadiran 8,167 peserta daripada 147 kontinjen serta diserikan dengan perarakan 442 unit pelbagai jenis kenderaan.
Acara itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; kepemimpinan negeri serta lebih 50,000 pengunjung pelbagai kaum termasuk pelancong asing.
Sambutan ini sejajar dengan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, yang dizahirkan melalui penglibatan menyeluruh rakyat Melaka dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68.