Negeri Sembilan terus mengorak langkah dan mencatatkan pelbagai kejayaan yang cemerlang di persada nasional dan antarabangsa, seiring aspirasinya untuk muncul sebagai sebuah negeri yang progresif, inklusif dan sejahtera.
Dalam tempoh 2024 hingga 2025, pelbagai pencapaian telah direkodkan yang merupakan satu manifestasi jelas terhadap kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dalam merencana pembangunan mampan, memperkukuh perpaduan rakyat serta mempertingkat taraf hidup masyarakat secara holistik.
Setiap kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan dasar yang berkesan, malah menjadi bukti kesungguhan dalam merealisasikan harapan rakyat dan menjulang martabat Negeri Sembilan di mata dunia.
Lembaran tahun 2024 hingga 2025 menyaksikan pelbagai pencapaian yang membuktikan kekuatan pentadbiran kerajaan negeri dalam memacu pembangunan mampan, memupuk perpaduan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai Negeri Paling Progresif 2024 oleh The International Business Review ASEAN Awards 2025 yang mengiktiraf prestasi dalam pelaburan, pembangunan mampan, keterangkuman sosial dan digitalisasi perkhidmatan.
Menurutnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut diiktiraf sebagai Agensi Induk Terbaik Majlis Bersama Jabatan (MBJ) 2025 manakala kerajaan negeri menerima Anugerah Majikan Prihatin CEUPACS 2025 atas komitmen menjaga kebajikan warga kerja sektor awam.
“Dalam sukan, pasukan Negeri Sembilan Antlers muncul juara Grand Prix Sepak Takraw Liga (STL) 2025 tanpa kalah, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dan perpaduan.
“Negeri Sembilan mencatatkan pelaburan RM7.25 bilion pada tahun 2024, termasuk RM3.4 bilion pelaburan asing daripada syarikat ternama dunia seperti Safran (Perancis), F&N (Singapura), AntMed (China), MyNAFCO (Taiwan) dan Shin Heung Sec (Korea Selatan). Kejayaan tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi nergeri ini.
“Negeri Sembilan juga menjadi negeri pertama menyiapkan Fasa 1 Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), membina 27 menara telekomunikasi baharu yang memperluas liputan internet luar bandar. Program Penggerak Madani pula menjadi pelopor latihan nilai-nilai Malaysia Madani untuk penjawat awam dan pemimpin akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, di peringkat tempatan, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Daerah Kuala Pilah dan Majlis Daerah Jelebu menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2025 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut Aminuddin, kerajaan negeri kini menumpukan persediaan untuk kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026) yang akan menonjolkan Adat Perpatih, alam semula jadi dan gastronomi sebagai tarikan utama.
“Namun, beberapa cabaran perlu diatasi, termasuk penambahbaikan infrastruktur pelancongan, kelestarian alam sekitar dan kesiapsiagaan komuniti menerima gelombang pelancong,” katanya.
Pelaburan dan pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0
Dalam pada itu, beliau berkata, kajian menunjukkan Negeri Sembilan berisiko menghadapi krisis sumber air mentah menjelang 2030.
“Projek strategik seperti Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Linggi dan pembinaan Sabo Dam perlu dipercepatkan, selain penyelenggaraan tujuh empangan utama.
“Kerajaan negeri memohon sokongan peruntukan khas persekutuan bagi memastikan kelestarian bekalan air,” katanya.
Menurut Aminuddin, kedudukan strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang menjadikan Negeri Sembilan destinasi pelaburan utama.
“Lebih 500 syarikat pembuatan asing dan tempatan beroperasi di negeri ini membuka peluang pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan ekonomi.
“Projek Mega Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) bakal menjadi pemangkin pertumbuhan baharu dengan tumpuan awal pada taman industri teknologi tinggi di Nilai.
“Pembangunan di Labu serta Pelabuhan Pintar di Port Dickson turut dirancang, bergantung kepada sokongan infrastruktur seperti TAPS Linggi, bekalan elektrik dan jaringan lebuh raya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga komited mengimbangi pembangunan bandar dan luar bandar, melibatkan daerah Rembau, Tampin, Jempol, Jelebu serta Kuala Pilah.
“Cabaran utama termasuk kos infrastruktur tinggi, penyelenggaraan kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal. “Bagi komuniti Orang Asli, peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta hingga RM2.5 juta digunakan untuk projek jalan, prasarana dan perumahan,” katanya.
Dalam masa sama, usaha meningkatkan pendedahan pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) desa akan diperkasa, termasuk menaik taraf perkhidmatan telekomunikasi dan memperkenalkan Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
Kelestarian dan pengurusan sisa
Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga berdepan dengan kekangan data tepat kadar kitar semula kerana aliran sisa merentas negeri.
Justeru, kerjasama dengan KPKT diperlukan untuk memperbaiki sistem pengukuran dan meningkatkan keberkesanan program kitar semula.
“Kerajaan negeri juga memohon peruntukan khas PBT untuk menaik taraf infrastruktur bandar dan pertimbangan mengurangkan hutang PBT kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melalui penstrukturan semula atau insentif pengurusan sisa,” katanya.
Beliau berkata, Negeri Sembilan terus mara ke hadapan dengan gabungan rekod pencapaian, perancangan strategik dan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta rakyat.
“Sambutan Hari Merdeka kali ini menjadi simbol perpaduan dan tekad bersama untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri progresif, inklusif serta sejahtera yang mana kemajuan dinikmati secara bersama demi masa depan lebih gemilang,” katanya.