SARA: Kapasiti 'bandwidth' MyKasih dipertingkat

Iklan
Fahmi (dua dari kiri) ketika melancarkan sambutan Hari Internet Selamat 2026 anjuran MCMC di Tasik Titiwangsa pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Kapasiti 'bandwidth' laman web MyKasih yang mengendalikan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan bagi memastikan tiada gangguan teknikal menjelang pelaksanaan program itu bermula Isnin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penambahbaikan tersebut dilakukan bagi menjamin kelancaran agihan bantuan RM100 yang dikreditkan terus ke MyKad semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan mengambil langkah awal susulan pengalaman lalu bagi mengelakkan masalah sistem khususnya seperti yang berlaku pada penghujung 2025.

"Pagi ini, saya telah bercakap dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan beliau telah memberi jaminan pelaksanaan SARA akan berjalan lancar pada hari-hari awal penyaluran.

Iklan

"Jadi beliau telah memaklumkan pihak MyKasih yang menguruskan pengkalan data telah meningkatkan jumlah capaian bagi memastikan tidak berlaku apa-apa masalah ketika pelaksanaan Sara untuk semua bermula esok," katanya ketika sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Internet Selamat 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di pada Sabtu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan SARA sebanyak RM100 untuk kali kedua bermula 9 Februari sebagai persiapan menjelang ketibaan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina pada akhir Februari.

Iklan

Beliau berkata, sumbangan kali kedua itu bakal dinikmati oleh 22 juta rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Dalam pada itu Fahmi memaklumkan, penerima boleh menggunakan peruntukan tersebut untuk membeli barangan keperluan bermula esok.

"Jumlah ini boleh dibelanjakan sehingga hujung tahun dan akan dinyahaktifkan pada jam 12 tengah malam, 31 Disember 2026," ujarnya.