BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berada dalam kelas tersendiri apabila berada di landasan terbaik untuk menghadiahkan kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia 2025 sempena Hari Kebangsaan ke-68 negara pada Ahad.
Peluang tersebut hadir selepas pasangan nombor dua dunia itu mara ke pentas final kejohanan berprestij tersebut selepas mengalahkan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam saingan separuh akhir yang mendebarkan sehingga ke set penentuan di Perancis sebentar tadi.
Malah sejarah baharu juga terukir apabila mereka menjadi beregu wanita pertama Malaysia mara ke saingan akhir sejak kejohanan itu mula dipertandingkan di Malmo, Sweden pada tahun 1977.
Dalam aksi di Adidas Arena, Paris itu, Pearly-Thinaah memberikan tentangan sengit pada set pertama, namun ia belum cukup apabila tewas 14-21 kepada gandingan Jepun yang berstatus ketiga dunia.
Pasangan negara cuba bangkit menyusun semula strategi permainan bersama jurulatih, Rosman Razak dan nyata ia berbaloi apabila mereka menang 21-13 untuk melanjutkan permainan ke set penentuan.
Debaran kian terasa apabila kedua-dua gandingan saling bertukar mata, namun kelebihan mendominasi permainan mengesahkan kemenangan buat Pearly-Thinaah 21-12 dalam masa 68 minit permainan.
Keputusan tersebut menyaksikan rekod kemenangan Pearly-Thinaah ke atas pasangan Jepun itu meningkat kepada 3-13.
Tugas sukar bagaimanapun menanti pasangan negara apabila dijadualkan menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di pentas final pada Ahad.