SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memperketatkan kawalan sempadan negara apabila menolak kemasukan 104 warga asing yang gagal memenuhi syarat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut kenyataan AKPS, hasil pemeriksaan dan saringan ketat yang dijalankan, pihaknya berjaya mengesan 104 individu yang tidak mematuhi syarat ditetapkan pada Jumaat.
Iklan
Iklan
"Majoriti daripada mereka terdiri daripada warga Bangladesh, India dan Pakistan.
"Antara kesalahan yang dikesan termasuk gagal mengemukakan tujuan jelas ke negara ini, tidak memiliki penginapan atau tiket pulang yang sah, serta memberi alasan meragukan bagi menyokong permohonan masuk," katanya.
Sementara itu, AKPS turut menguruskan proses penghantaran pulang seramai 288 pelawat yang masih berada di KLIA selepas tidak dibenarkan masuk sebelum ini.
“AKPS akan terus mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan dan integriti pintu masuk negara sentiasa terpelihara.
"Hanya pelawat yang memenuhi syarat yang ditetapkan sahaja dibenarkan memasuki Malaysia,” katanya.