Rusuhan Indonesia: Tiga maut, bangunan majlis perbandaran di Makassar dibakar

Iklan
Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Makassar terbakar ketika berlangsungnya demonstrasi di Makassar, Sulawesi Selatan pada Jumaat.Foto: AFP

MAKASSAR – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh apabila bangunan majlis perbandaran di bandar Makassar, timur Indonesia musnah dalam kebakaran yang dicetuskan penunjuk perasaan pada Sabtu.

Kejadian itu berlaku susulan siri demonstrasi besar-besaran di seluruh negara berikutan kematian seorang penunggang motosikal e-hailing yang dilanggar kenderaan polis.

Iklan
Iklan

Gelombang kemarahan tercetus pada Jumaat apabila rakaman video tersebar memaparkan seorang penunggang motosikal, Affan Kuniawan, digilis kenderaan taktikal polis ketika menyertai bantahan berkaitan isu gaji rendah dan dakwaan kemewahan ahli Parlimen.

Di Makassar, tunjuk perasaan bertukar ganas apabila penunjuk perasaan menyerang bangunan majlis perbandaran dan dewan perundangan wilayah.

Iklan

Kedua-duanya dibakar, manakala beberapa kenderaan turut musnah selepas dibaling batu dan bom petrol.

Setiausaha Majlis Perbandaran Makassar, Rahmat Mappatoba berkata, tiga mangsa maut selepas terperangkap dalam bangunan yang terbakar.

Iklan

“Mereka tidak sempat menyelamatkan diri. Dua mangsa adalah kakitangan majlis manakala seorang lagi penjawat awam.

"Dua meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya kepada AFP.

Beliau menegaskan tindakan itu di luar jangkaan kerana lazimnya demonstrasi hanya melibatkan lontaran batu atau pembakaran tayar di luar pejabat.

“Belum pernah mereka menyerbu masuk dan membakar bangunan,” jelasnya.

Menurut Rahmat, sekurang-kurangnya empat lagi mangsa cedera dan kini dirawat di hospital.

Kebakaran berjaya dipadamkan pada awal pagi Sabtu, namun imej yang tular menunjukkan bangunan dewan wilayah masih marak dijilat api pada waktu malam.

Di ibu negara Jakarta, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan ibu pejabat Briged Mobil (Brimob), unit polis elit yang dipersalahkan atas kematian Affan. Mereka melempar mercun sebelum polis bertindak balas dengan gas pemedih mata.

Keadaan bertambah tegang apabila sekumpulan penunjuk perasaan cuba merempuh pagar bangunan dan menanggalkan papan tanda rasmi dari fasad ibu pejabat berkenaan.

Polis memaklumkan tujuh anggotanya telah ditahan untuk siasatan berkaitan insiden kematian pemandu motosikal itu.

Protes berkenaan disifatkan sebagai yang terbesar dan paling ganas sejak Presiden Prabowo Subianto memegang tampuk pemerintahan, kurang setahun lalu.

Situasi ini menjadi ujian awal kepimpinannya, memaksa beliau segera merayu ketenangan, mengarahkan siasatan rasmi serta menziarahi keluarga mangsa.

Prabowo sebelum ini berjanji untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara secara pantas dengan dasar populis termasuk program makan percuma bernilai berbilion dolar.

Namun, langkah itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati apabila kerajaan terpaksa melakukan pemotongan besar dalam bajet persekutuan.

Selain Makassar dan Jakarta, protes turut merebak ke beberapa bandar besar lain pada Jumaat, antaranya Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Pulau Jawa serta Medan di wilayah Sumatera Utara. -AFP