GEORGE TOWN - Seorang pelajar lelaki warga China yang mengikuti pengajian doktor falsafah di sebuah universiti tempatan di sini kerugian RM847,843 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ts Azizee Ismail berkata, laporan berhubung kejadian diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 28 Ogos lalu.
Menurutnya, kejadian bermula pada 4 Ogos kira-kira jam 10.30 pagi apabila mangsa berusia 29 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Shanghai, China.
“Suspek mendakwa terdapat bungkusan atas nama mangsa dihantar dari Malaysia ke China yang mengandungi kad pengenalan, kad kredit dan buku cek. Dokumen tersebut kononnya telah ditahan polis di Shanghai.
“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai keselamatan awam Hong Kong. Suspek memaklumkan bahawa akaun bank mangsa disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Azizee berkata, mangsa diarahkan memindahkan wang ke beberapa akaun bank dan e-dompet kononnya bagi tujuan siasatan.
Sepanjang tempoh 6 hingga 26 Ogos, mangsa membuat 30 transaksi pemindahan wang berjumlah RM847,843.62 ke 11 akaun bank tempatan dan tiga akaun mata wang kripto (USDT).
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakannya sebelum tampil membuat laporan polis.
Sehubungan itu, Azizee menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan terutama yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.
“Jangan mudah percaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan. Jika menerima panggilan sebegini, jangan kongsi maklumat peribadi dan segera hubungi pihak berkaitan untuk pengesahan.
“Orang ramai boleh menyemak akaun bank serta nombor telefon mencurigakan melalui pautan Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my," katanya.