IMPIAN untuk menyaksikan dua beregu lelaki negara melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis tidak kesampaian setelah mereka tewas kepada lawan masing-masing pada awal pagi Sabtu.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun tumpas di tangan pasangan nombor satu dunia, Seo Seung-jae dan Kim Won-ho dalam aksi suku akhir di Adidas Arena, Paris menerusi saingan sehingga ke set penentuan.
Pasangan negara yang berkedudukan ketujuh dunia itu tidak memberi laluan mudah kepada gandingan Korea Selatan apabila memaksa mereka bekerja keras selama 69 minit permainan.
Wei Chong-Kai Wun bermula dengan langkah kiri apabila tewas pada set pertama 21-23, namun bangkit melawan untuk memenangi permainan kedua 23-21.
Pengalaman nyata menjadi pemisah apabila Seung-jae dan Won-ho mengesahkan kemenangan 21-15 untuk mara ke separuh akhir.
Nasib sama turut menimpa beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila harapan untuk meraih slot empat terbaik dinafikan oleh Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Pasangan negara yang berstatus nombor dua dunia itu dikejutkan oleh gandingan India dalam pertarungan straight set.
Rankireddy-Shetty yang terkenal dengan julukan pasangan ‘bisik-bisik’ serta berkedudukan kesembilan dunia mengungguli permainan 21-12, 21-19 dalam tempoh 43 minit untuk melangkah ke separuh akhir dengan bergaya.