SETIAP ibu bapa yang menghantar anak ke menara gading hanya punya satu harapan iaitu melihat mereka berjaya, menggenggam ijazah dan menjadi sandaran masa depan keluarga.
Bagi Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, impian itu berkecai apabila anak sulungnya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelajar jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pulang dalam keadaan tidak bernyawa pada 28 Julai lalu.
Beliau dimaklumkan anaknya meninggal dunia akibat sawan selepas menjalani latihan menembak tetapi dakwaan itu menimbulkan persoalan besar apabila keadaan fizikal arwah tidak sepadan dengan penjelasan awal yang diterima.
Tragedi terbabit segera mengundang perhatian ramai apabila kubur Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih terpaksa digali semula Jumaat lalu bagi tujuan bedah siasat kedua demi mencari kepastian punca sebenar kematian.
Apa yang berlaku mengingatkan kita kepada beberapa kes sebelum ini.
Tahun 2017, negara dikejutkan dengan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang maut akibat didera rakan sendiri.
Mac tahun lalu pula, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, menemui ajal selepas dibelasah di bilik asrama.
Kesemua insiden terbabit membawa satu persamaan iaitu anak yang dihantar menuntut ilmu dengan penuh harapan, akhirnya pulang dengan jasad tidak bernyawa.
Kekecewaan dan kesedihan keluarga mangsa adalah sesuatu tidak dapat dibayangkan apatah lagi apabila kematian berlaku dalam keadaan penuh misteri atau berpunca daripada keganasan rakan sebaya atau sebab-sebab lain.
Setiap kes kematian di institusi pendidikan wajar ditangani dengan teliti kerana ia bukan sahaja soal maruah keluarga, tetapi juga menyentuh integriti sistem pendidikan negara.
Inkues segera diminta keluarga Allahyarham melalui Peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh untuk kes Syamsul Haris adalah langkah penting untuk merungkai kebenaran, tetapi juga memastikan tiada pihak terlepas daripada tanggungjawab.
Kegagalan menangani kes sebegini secara telus hanya akan menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan dan pihak berkuasa.
Keluarga mangsa bukan sekadar menuntut hukuman setimpal tetapi juga mahu melihat perubahan yang menjamin keselamatan pelajar.
Hukuman berat dalam kes-kes sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran bahawa budaya buli, keganasan dan penyalahgunaan kuasa tidak ada tempat di kampus mahupun asrama.
Justeru, reformasi menyeluruh perlu digerakkan daripada aspek pengurusan asrama, sistem pengawasan pelajar, hingga pendidikan nilai yang lebih menekankan hormat dan empati.
Semoga keadilan untuk Allahyarham Syamsul Haris dan mangsa lain ditegakkan agar nyawa mereka tidak pergi begitu sahaja tanpa jawapan dan tragedi seumpama itu tidak lagi berulang.