SURABAYA - Gelombang protes susulan kematian tragis penunggang ojek dalam talian, Affan Kurniawan, merebak ke Surabaya apabila ratusan peserta demonstrasi mengepung Gedung Negara Grahadi petang Jumaat untuk menuntut keadilan.
Sejak jam 2 petang waktu tempatan, kumpulan penunjuk perasaan terdiri daripada penunggang ojek, aktivis mahasiswa dan masyarakat awam mula berkumpul di Jalan Gubernur Suryo sambil membawa sepanduk mendesak siasatan menyeluruh dan menghentikan kekerasan pihak berkuasa.
Mereka turut menyanyikan lagu patriotik dan melaungkan slogan menuntut reformasi pasukan keselamatan.
Keadaan menjadi tegang apabila beberapa peserta bertindak merempuh pagar kawat berduri dan melempar objek ke arah pasukan keselamatan.
Polis bertindak balas dengan menyuraikan peserta menggunakan gas pemedih mata dan meriam air. Beberapa kenderaan rosak dan belasan penunggang ojek dilaporkan cedera ringan.
Koordinator protes, Zaldi Ramadhan, menyampaikan lima tuntutan utama kepada pihak berkuasa, termasuk pemecatan anggota Brimob (Mobile Brigade) yang terlibat dalam insiden pelanggaran, pemberian pampasan kepada keluarga mangsa, serta jaminan keselamatan bagi penunggang ojek dalam menjalankan tugas harian.
Affan Kurniawan, 21, maut selepas dilanggar kenderaan taktikal Brimob ketika menghantar pesanan makanan semasa demonstrasi di Jakarta minggu lalu.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan meluas dan menjadi simbol perjuangan masyarakat akar umbi menuntut keadilan serta reformasi institusi.
Setakat jam 6 petang, peserta demonstrasi masih bertahan di sekitar kawasan Grahadi, manakala pihak berkuasa terus bersiaga bagi mengawal keadaan. - Awani