Op Kontraban Mega: RM13 juta rokok, arak seludup dirampas, 195 individu ditahan

Iklan
Fisol (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 174 premis di seluruh negara yang menjual dan menyimpan rokok serta minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM13 juta diserbu baru-baru ini.

Operasi khas Op Kontraban Mega selama dua hari bermula Selasa itu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan serentak itu melibatkan 11 negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, nilai rampasan rokok dianggarkan RM7.79 juta melibatkan 257 jenama, manakala 103,407 liter minuman keras bernilai RM4.56 juta dengan 141 jenama. Turut dirampas ialah minyak masak, kenderaan, mercun serta telefon bimbit dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM13.2 juta.

Iklan

Antara premis yang diperiksa menerusi Op Kontraban Mega oleh PGA dengan kerjasama JKDM di seluruh negara.

“Operasi ini turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM13,500.

Iklan

“Seramai 195 individu termasuk 34 wanita berusia lingkungan 18 hingga 72 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada 127 warga tempatan, tujuh warga Bangladesh, 30 warga Indonesia, 23 warga Pakistan, seorang warga Sri Lanka, tiga warga India serta empat warga Filipina,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) JKDM, Siti Mang serta Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Tambah Fisol, siasatan mendapati rokok seludup itu disorok di premis sebelum dijual kepada pelanggan tetap.

Katanya, individu yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penjaga premis, sementara kegiatan berkenaan didalangi oleh beberapa sindiket.

“Rokok seludup ini dijual dengan harga jauh lebih murah, sekitar RM7 hingga RM10 atau mungkin lebih rendah. Manakala minuman keras tidak bercukai pula disyaki dijual di pusat hiburan dan dicampur bersama minuman bercukai,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fisol berkata sehingga 27 Ogos lalu, Op Kontraban yang dilaksanakan PGA pada tahun ini berjaya membuat rampasan bernilai RM232.59 juta, melibatkan 86,721,472 batang rokok, 973,558 liter minuman keras serta 648 tangkapan.

Sementara itu, Siti berkata JKDM akan terus mempertingkatkan operasi secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain.

Jelasnya, operasi ini merupakan pencapaian penting antara JKDM dan PDRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan.

Antara tindakan undang-undang yang diambil ialah di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.