Penyebaran fitnah jejas keharmonian Sabah - Peguam Besar Sabah

Iklan
Brenndon Keith Soh.

KOTA KINABALU – Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya diperlukan bagi mengekang penyebaran fitnah yang disengajakan sekali gus memastikan ketenteraman dan keharmonian di Sabah terus terpelihara.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, pihaknya memandang serius penularan hantaran di media sosial yang bersifat menghina, berunsur fitnah, palsu serta mengelirukan berkaitan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah.

Iklan
Iklan

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menegaskan kepentingan memelihara integriti dan martabat Yang di-Pertua Negeri Sabah sebagai sebuah institusi yang amat dihormati.

“Dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Persekutuan, jawatan TYT Sabah merupakan bahagian penting dalam kerangka Perlembagaan Negara dan hendaklah dihormati sebagai lambang perpaduan, kesinambungan serta kedaulatan.

Iklan

“Hantaran-hantaran tersebut adalah tidak berasas sama sekali, tidak tepat dan boleh menjejaskan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, walaupun kebebasan bersuara diiktiraf dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan, ia perlu dipraktikkan secara bertanggungjawab.

Iklan

“Penyebaran maklumat yang menghina, direka atau mengelirukan bukan sahaja menjejaskan keyakinan awam, malah boleh dianggap sebagai kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai mendapatkan maklumat melalui sumber rasmi, sahih dan boleh dipercayai sebelum menyebarkannya dalam talian.

Beliau turut menekankan bahawa penggunaan media sosial secara bertanggungjawab penting untuk mengekalkan ruang awam yang beradab dan berinformasi.

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah komited menegakkan kedaulatan undang-undang di samping menggalakkan dialog yang membina, saling menghormati serta penyebaran maklumat yang tepat sebagai tanda kematangan demokrasi di negeri dan negara kita.

“Orang ramai juga diseru untuk bersama-sama membudayakan nilai kejujuran, integriti dan akauntabiliti dalam semua bentuk komunikasi.

“Istana Seri Kinabalu melambangkan warisan sejarah dan nilai negeri Sabah yang kita cintai dan memerlukan penghormatan sepenuhnya di mata masyarakat.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melindungi martabat serta kehormatan TYT Sabah sebagai sebuah institusi yang mulia,” katanya.