Penganggur dipenjara 16 tahun sokong, miliki bahan Daesh

Iklan
Hasbullah dibawa ke Mahkamah Sesyen Segamat Johor bagi menghadapi pertuduhan berkenaan pada 25 Jun 2024. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat kerana menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, dua tahun lalu.

Hasbullah Hassan, 46, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan di hadapan Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor.

Iklan
Iklan

Dia dihukum penjara selama 10 tahun bagi pertuduhan pertama iaitu memberi sokongan kepada kumpulan berkenaan sementara dan enam tahun penjara untuk pertuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mei 2024.

Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu dengan cara mempromosikannya menerusi aplikasi media sosial Facebook menggunakan akaun bernama Hasbullah Hassan.

Ia dikesan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara Dua Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur pada 9 pagi, 23 Mac 2023.

Iklan

Dia dituduh mengikut Perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda dan harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hasbullah didakwa memiliki 143 gambar dan tiga video dalam dua buah telefon bimbit yang merupakan barang yang mempunyai kaitan dengan Daesh serta sebentuk cincin yang mengandungi logo kumpulan pengganas itu di Felda Palong Timur Tiga, Batu Anam, Segamat, Johor pada 12.30 tengah hari, 30 Mei 2024.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan polis mendapati, sembilan akaun media sosial itu telah digunakan tertuduh untuk mempromosikan kumpulan pengganas Daesh dengan membuat hantaran, gambar dan video berkaitan kumpulan tersebut.

Selain itu, dua telefon bimbit milik tertuduh juga mempunyai kaitan dengan keganasan, ekstremisme dan terrorisme yang berhubung kait dengan kumpulan pengganas itu

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainaa Ridzwan mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

“Kesalahan yang dilakukan serius dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Wan Muhamad Yusuf W Hussin merayu hukuman penjara terhadap anak guamnya berjalan serentak dari tangkap.

“Anak guam saya telah insaf dan menyesal atas perbuatannya,” katanya.