SEREMBAN – Polis menahan dua lelaki warga Pakistan selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun di sebuah perhentian bas di Taman Tuanku Jaafar, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan pada Khamis selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengenali mangsa melalui aplikasi TikTok.
“Salah seorang daripada mereka mengaku melakukan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak tersebut pada 24 Ogos lalu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman enam hari bermula 29 Ogos hingga 3 September 2025 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan kanak-kanak berada di bawah pengawasan penjaga yang dipercayai serta memantau aktiviti mereka, khususnya penggunaan media sosial.
“Laporkan segera kepada pihak polis sekiranya ternampak kanak-kanak bersendirian atau menjadi mangsa gangguan.
“Jangan berkongsi rakaman kejadian di media sosial bagi melindungi identiti mangsa, sebaliknya salurkan maklumat terus kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar berganding bahu menjaga keselamatan komuniti, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, OKU dan warga emas.